LAHAD DATU: Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Superintendan Jimmy anak Panyau, 53, meninggal dunia selepas menjalani rawatan susulan masalah kesihatan berkaitan hati dan saluran hempedu.
Mendiang disahkan meninggal dunia di Kuching Life Care Society, Sarawak pada jam 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan dan memberitahu, mendiang yang berketurunan Iban sebelum ini mendapatkan rawatan di Borneo Medical Centre, Kuching pada 14 Ogos 2026 selepas mengalami masalah kesihatan berkaitan hati.
Mendiang Jimmy kemudiannya dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 15 Ogos dan diberikan cuti sakit sehingga 23 Ogos.
Sebelum itu, Jimmy turut menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk pengimejan Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Gleneagles Hospital, Kota Kinabalu susulan mengalami kurang selera makan dan sembelit.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan membabitkan kawasan hati dan saluran hempedu.
Pada 20 Ogos lalu, mendiang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak sebelum dimasukkan ke Wad Pembedahan Lelaki bagi pemantauan dan rawatan selanjutnya.
“Semasa hayatnya, beliau seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas di Lahad Datu,” kata ACP Dzulbaharin.
Sebelum ini mendiang Jimmy juga pernah menjawat jawatan Deputi Superintendan dan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Mukah.