Ringkasan AI
- Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap isu penyembelihan dan pemprosesan ayam yang menimbulkan kegusaran pengguna Islam di Selangor.
- Menteri Besar Selangor mencadangkan pendakwaan terhadap pengendali kilang ayam serta pemantauan berterusan oleh PBT dan badan pengeluar sijil halal.
- Jabatan Agama Islam Selangor dan polis merampas lebih 6.5 tan ayam mentah di Puchong kerana disyaki tidak mematuhi hukum syarak.
SHAH ALAM: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas berhubung isu penyembelihan dan pemprosesan ayam yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna beragama Islam di Selangor baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata antara tindakan yang boleh diambil ialah mendakwa pengendali atau pemilik kilang penyembelihan ayam terbabit di mahkamah bagi membendung isu kesihatan dan menjaga sensitiviti masyarakat.
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan pengeluar sijil halal juga perlu bekerjasama melaksanakan pemantauan serta siasatan berterusan, di samping mengumpul maklumat berkaitan yang dikongsikan oleh orang awam.
"Ia sebenarnya merujuk kepada pihak berautoriti, iaitu pengeluar sijil halal dan PBT untuk melakukan siasatan ataupun lawatan berkala bagi memastikan aspek keselamatan operasi serta kesihatan dipantau dengan sebaik mungkin.
"Saya juga minta pihak berkaitan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan tegas dan mengheret mereka sehingga ke peringkat pendakwaan supaya kita boleh mengambil tindakan berdasarkan siasatan yang terperinci," katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor di Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 di sini hari ini.
Pada Sabtu lepas, Jabatan Agama Islam Selangor dan Polis Diraja Malaysia menyerbu sebuah gudang penyembelihan serta pemprosesan ayam mentah di Puchong selain merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 kerana kaedah penyembelihan disyaki tidak mematuhi hukum syarak.
Mengulas mengenai kes penemuan dadah yang disimpan di rumah ibadat tidak berdaftar di Klang Selatan, Amirudin menyerahkan kepada pihak berautoriti untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Kita tidak boleh menghukum semua tetapi kalau ada kejadian di satu tempat, kena ambil tindakan dan tiada perlindungan diberikan kepada kegiatan di luar batas undang-undang," katanya.
Pada 23 Okt lepas, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran dadah yang menjadikan rumah ibadat tidak berdaftar di Klang sebagai tempat penyimpanan.
-- BERNAMA