KUALA LUMPUR: Kesukaran membesarkan tiga anaknya di negara minoriti umat Islam dengan persekitaran dan budaya yang jauh berbeza dari Malaysia, menjadi detik penghijrahan kepada lelaki ini untuk mengambil keputusan nekad menjadi pendakwah sepenuh masa di Jepun.

Biarpun kemahiran Zulkarnain Hasan Basri, 50, dalam dunia kejuruteraan dan bukannya lulusan agama, jurutera kanan di sebuah syarikat di negara Matahari Terbit itu sanggup meninggalkan kerjayanya yang mencecah gaji lima angka, demi menyahut seruan menyebarkan agama Islam di sana.

Memanfaatkan sepenuhnya kemahiran penguasan bahasa Jepun yang dimilikinya bagi tujuan itu, anak kelahiran Tapah, Perak yang kini menetap di Osaka telah mengabdikan hidupnya lebih sedekad sebagai pendakwah sepenuh masa selain turut mengasaskan Japan Dakwah Centre sebagai pusat dakwah.

"Selepas 12 tahun bekerja di sebuah syarikat Jepun di Malaysia, majikan tawarkan saya bekerja di ibu pejabat di Osaka pada November 2008 di jabatan baharu untuk melatih pekerja. Jadi, saya turut bawa isteri warga Jepun bersama tiga anak termasuk pasangan kembar, ketika itu berusia sembilan dan enam tahun.

"Di Malaysia, pendidikan agama saya tak risau kerana yakin anak-anak dapat secukupnya tetapi berbeza di Jepun, saya sendiri beli buku agama dan ajar mereka. Ilmu agama dipelajari daripada ibu bapa, sekolah selain saya memang 'kaki masjid' di Malaysia, digunakan untuk mengajar mereka," katanya.

Bagaimanapun, lulusan Diploma Lanjutan Kejuruteraan Elektrik daripada Niihama National College of Technology, Ehime, Jepun yang dihubungi Bernama baru-baru ini, berkata cabaran membesarkan ketiga-tiga anaknya dengan pendidikan agama Islam semakin sukar apabila mereka meningkat dewasa.

"Semasa kecil, mereka boleh faham apa yang diajarkan tetapi lama selepas itu, semakin sukar. Saya dapati pengaruh persekitaran, kawan amat kuat dan mereka tiada 'sample' seperti kawan seagama yang boleh dijadikan contoh, inilah 'turning point' untuk saya menjadi pendakwah di Jepun," katanya.

Nekad berhenti kerja pada 2009, ternyata pengorbanan lelaki ini tidak sia-sia biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha menyebarkan syiar Islam di bumi bunga sakura apabila diberikan nikmat untuk menyaksikan pengislaman lebih 300 warga Jepun.

Bahkan usaha murninya itu lebih tersusun dan berkesan dengan penubuhan Japan Dakwah Centre pada 2019, sebagai medan bimbingan kepada warga mualaf Jepun selain pada masa sama, turut menjalankan pelbagai aktiviti seminar berkaitan Islam dan mengusahakan perniagaan restoran halal.

Dengan menggunakan pelbagai pendekatan, Zulkarnain tidak menafikan kaedah penghujahan logik akal yang dilakukannya pada peringkat awal untuk menyampaikan mesej Islam seperti kebaikan berpuasa dan solat, kurang berkesan sehinggalah dipertemukan dengan dua rakyat Malaysia yang kepakarannya dalam agama.

Pengenalannya dengan pensyarah tilawah al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim dan penyelia Pondok Sungai Durian, Kuala Krai Kelantan Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman, membuka matanya kepada kaedah taddabur al-Quran.

"Dua individu ini, saya banyak belajar cara taddabur al-Quran iaitu menghayati dan memahami isi kandungan ayat suci tersebut. Apabila saya sudah faham dan mahir, saya praktis perkara sama kepada masyarakat Jepun.

"Alhamdulillah, penerangan yang disampaikan berkenaan ayat suci al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar dikurniakan Allah, membuatkan mereka lebih seronok dan tertarik untuk tahu lebih lanjut mengenai Islam," katanya sambil menambah majoriti memeluk Islam adalah bawah umur 40 tahun.

Menyentuh perkembangan Islam di negara itu, Zulkarnain menyifatkannya semakin berkembang pesat dengan komuniti Islam yang kini dianggarkan berjumlah lebih 350,000 orang daripada kira-kira 123 juta penduduk selain kesedaran, permintaan kepada perkhidmatan halal semakin meningkat, khususnya produk makanan.

-- BERNAMA