Skip to main content

Malaysia

Tonto mengaku tidak bersalah atas 55 pertuduhan rasuah anggota polis trafik

Lelaki itu didakwa secara rasuah memberikan wang kepada tiga anggota polis trafik sebagai dorongan supaya mereka tidak menjalankan pemeriksaan terhadap lori-lori semasa sekatan jalan raya. - Foto Bernama
Lelaki itu didakwa secara rasuah memberikan wang kepada tiga anggota polis trafik sebagai dorongan supaya mereka tidak menjalankan pemeriksaan terhadap lori-lori semasa sekatan jalan raya. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seorang tonto dan seorang pengurus logistik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan kepada anggota polis trafik dan penguat kuasa JPJ.
  • Jumlah suapan melibatkan RM62,900 untuk 55 pertuduhan dan RM4,200 untuk 16 pertuduhan, didakwa berlaku antara Januari 2022 hingga Oktober 2024.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dan RM5,000 dengan syarat tambahan, serta menetapkan 3 Disember untuk sebutan semula kes.

SHAH ALAM: Seorang tonto mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 55 pertuduhan memberi suapan berjumlah RM62,900 kepada tiga anggota polis trafik antara Januari 2022 dan Februari 2026.

Ang Lie Giap, 33, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberikan wang kepada tiga anggota polis trafik masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Pejabat Peronda Lebuhraya EMPV Kesas, sebagai dorongan supaya mereka tidak menjalankan pemeriksaan terhadap lori-lori semasa sekatan jalan raya.

Suapan berkenaan didakwa diberikan dalam beberapa transaksi di beberapa cawangan bank di Klang dan Setia Alam, dengan jumlah antara RM700 hingga RM2,000.

Dalam kes berasingan, seorang pengurus logistik sebuah syarikat R Yuvarajakumar, 42, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 16 pertuduhan memberi suapan berjumlah RM4,200 kepada seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara Mei 2023 dan Oktober 2024.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa secara rasuah memberikan wang kepada seorang Pembantu Penguatkuasa di JPJ Wangsa Maju, melalui beberapa transaksi ke beberapa akaun bank milik seorang wanita di sebuah cawangan bank di Sungai Buloh, sebagai dorongan supaya tidak menjalankan pemeriksaan terhadap lori. 

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri.

Terdahulu, Asmaa’ menawarkan jaminan RM15,000 bagi Ang dan RM10,000 bagi Yuvarajakumar dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam K Theivaendran yang mewakili Ang memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 serta pasport tidak diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya perlu kerap ke luar negara atas urusan keagamaan selain memaklumkan bahawa isteri tertuduh sedang mengandung dan dijangka melahirkan anak sulung mereka hari ini.

“Tertuduh bukan seorang yang berisiko melarikan diri dan bekerja membantu menguruskan perniagaan ladang ayam milik bapanya dengan pendapatan antara RM3,000 dan RM3,500 sebulan,” katanya yang hadir bersama peguam Varghese Onny, Tee Yuan Sheng dan Tee Kar Weng (PDK). 

Peguam Datuk Dr Aswandi Mohamed Hashim yang mewakili Yuvarajakumar pula memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan perlu menanggung ibunya yang sedang sakit asma.

Mahkamah kemudian membenarkan Ang dan Yuvarajakumar diikat jamin masing-masing RM15,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi, selain Yuvarajakumar perlu menyerahkan pasport. 

Mahkamah turut menetapkan 3 Dis sebagai sebutan semula kes. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement