Ringkasan AI
- Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan rampasan bernilai RM4 juta dan menahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter di Sungai Petani.
- Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuala Muda membawa kepada penemuan 51 kg syabu dan 14.9 kg pil ecstacy yang dipercayai untuk dihantar ke pasaran luar negara.
- Suspek yang berasal dari Johor mempunyai satu rekod jenayah lampau dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu yang berperanan sebagai transporter ditahan polis ketika sedang menunggu transporter lain datang untuk mengambil dadah berkenaan.
Beliau berkata, serbuan pada jam 7 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan.
Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah dadah jenis syabu dan pil ecstacy yang diletakkan di dalam tiga beg kanvas berwarna jingga dan sebuah beg kanvas besar berwarna biru di dalam bonet belakang kereta jenis Honda Civic RS putih yang diparkir di bahu jalan.
Menurut Fisol, siasatan mendapati dadah jenis syabu seberat 51 kilogram (kg) dan pil ecstacy seberat 14.9 kg itu dipercayai untuk dihantar ke pasaran luar negara.
“Hasil siasatan kita menunjukkan ini bukan bekalan untuk tempatan, ini merupakan bekalan untuk dihantar ke luar negara.
"Di kedah ini, bentuk muka bumi yang mempunyai laut di sebelah Kuala Muda yang mempunyai jeti-jeti haram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Fisol berkata, hasil semakan mendapati, suspek yang berasal dari Johor itu mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Modus operandi (MO) dia merupakan orang yang membawa sahaja, jadi di sini orang lain pula akan terima. Jadi itu masih dalam siasatan kita,” katanya.
Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
