KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengumumkan tujuh perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.

Beliau berkata perubahan penempatan berkuat kuasa 10 Mac, melibatkan lima Ketua Setiausaha Kementerian dan masing-masing seorang Ketua Pengarah serta Ketua Setiausaha Sulit.

Perubahan itu menyaksikan Datuk Dr Aminuddin Hassim dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Datuk Ruji Ubi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.

Turut terlibat Datuk Dr Anesee Ibrahim sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi manakala Datuk Shaharuddin Abu Sohot dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria dilantik Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Datuk Shahrol Anuwar Sarman sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, JPM.

"Perubahan ini dilaksanakan selaras dengan agenda reformasi perkhidmatan awam untuk memperkasa anjakan nilai tugasan penjawat awam khususnya pegawai kanan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

-- BERNAMA