Skip to main content

Malaysia

Tuntutan wang peluru berpandu LCS dijangka ambil masa

Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis perasmian Program Siber Siaga 2026, sempena CyberDSA 2026 di MITEC hari ini. - Gambar Bernama
Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis perasmian Program Siber Siaga 2026, sempena CyberDSA 2026 di MITEC hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Proses mendapatkan semula wang berhubung isu pembekalan peluru berpandu Kapal Tempur Pesisir (LCS) tidak dapat diselesaikan segera dan dijangka mengambil masa, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ini adalah kerana Malaysia tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Norway untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.

Menurut beliau, walaupun permintaan untuk negara itu membantu telah dikemukakan melalui pelbagai peringkat, termasuk oleh Perdana Menteri, Menteri Luar dan beliau sendiri, Norway sama sekali enggan campur tangan.

“Kami tak nampak perkara ini boleh diselesaikan dengan segera... walaupun dia (Norway) yang menjadi punca kepada masalah ini yang tidak membenarkan lesen eksport.

“Dia langsung tidak berbuat apa-apa dalam nak bantu kita mencapai keputusan yang melindungi hak dan kepentingan kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Siber Siaga 2026, sempena Pameran Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026  di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Susulan tiada campur tangan daripada Kerajaan Norway, Mohamed Khaled berkata Malaysia kini terdedah untuk berurusan terus bagi membuat tuntutan dengan pihak syarikat yang dilihat menggunakan pelbagai dalih.

“Untuk kita dapatkan balik duit kita, ia bukan sesuatu yang mudah. Kita menjangkakan ia adalah satu proses yang panjang,” katanya, sambil menegaskan usaha melengkapkan persenjataan LCS perlu diteruskan tanpa bergantung kepada keputusan tuntutan terhadap syarikat pembekal berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau akan membawa perkara itu kepada kerajaan bagi membincangkan keperluan peruntukan bagi membolehkan perolehan peluru berpandu baharu dibuat.

Beliau berkata peluru berpandu baharu itu kelak perlu melalui pelbagai proses pertimbangan yang kompleks, antaranya merangkumi jangka masa penghantaran.

Kementerian juga perlu memastikan peluru berpandu baharu itu mampu diintegrasikan dengan Sistem Pengurusan Tempur (CMS) kapal LCS yang kini hampir siap dibina.

Malaysia sebelum ini dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pembekal Kongsberg Defence & Aerospace AS bagi menuntut ganti rugi susulan langkah Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang dijadualkan untuk projek LCS.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement