Skip to main content

Malaysia

Ugut warga emas: Mahkamah tetapkan 18 Dis pengurusan kes tiga kanak-kanak Myanmar

Ketiga-tiga tertuduh ditemani ibu bapa hadir ke mahkamah untuk pertuduhan ugutan jenayah. - Foto Sinar Harian
Ketiga-tiga tertuduh ditemani ibu bapa hadir ke mahkamah untuk pertuduhan ugutan jenayah. - Foto Sinar Harian
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 18 Dis ini sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes membabitkan tiga kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang didakwa mengugut seorang wanita warga emas di Taman Sri Rambai, di sini.

Ketiga-tiga kanak-kanak berumur antara 11 hingga 12 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Myanmar di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama-sama melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan mangsa yang berusia 71 tahun menggunakan beberapa objek termasuk mop, besi, lampu panjang berwarna putih dan batu.

Advertisement

Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Tingkat Binjai 14, Taman Sri Rambai kira-kira 6 petang pada 22 Okt lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Ketiga-tiga kanak-kanak itu sebelum ini didakwa atas pertuduhan sama di mahkamah pada 30 Okt lepas, manakala kes disebut semula hari ini dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulfadli Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Pusat Bantuan Guaman Pulau Pinang S. Sagthiyaraj.

Sementara itu, di luar mahkamah, Sagthiyaraj berkata Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada awalnya tidak membenarkan jaminan, namun Mahkamah Tinggi Butterworth pada 30 Okt membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan ibu bapa masing-masing sebagai penjamin.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas satu prosiding semakan berhubung penahanan kanak-kanak berkenaan yang dibawa ke pusat akhlak selepas pertuduhan dibacakan sebelum ini.

"Semakan itu dibuat kerana terdapat ketidakaturan dari segi pematuhan Seksyen 84 Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan bahawa kanak-kanak yang dituduh melakukan kesalahan jenayah, kecuali kesalahan membunuh, hendaklah dibenarkan ikat jamin dengan kehadiran ibu bapa atau penjaga," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan kira-kira 7.45 malam pada hari sama selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan jaminan.

Kesemua tertuduh masih bersekolah di sekolah kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhampiran.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement