KUALA LUMPUR: Semuanya bermula apabila pasangan suami isteri Harun Rahman dan Lara Ariffin membaca tentang nasib malang yang menimpa hidupan liar di Malaysia termasuk badak sumbu Sumatra yang sudah lenyap dari muka bumi negara ini.
Bimbang nasib yang sama akan berlaku ke atas harimau Malaya yang semakin pupus, pasangan suami isteri pembuat filem ini yang cintakan kehidupan liar, bertindak menubuhkan Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU) pada tahun 2018.
Setahun kemudian, mereka berjaya menghasilkan sebuah dokumentari 'Malaysia's Last Tigers' (Harimau Terakhir Malaysia) yang mendapat sambutan hangat, antaranya menyentuh keperluan mendesak untuk menyelamatkan spesies terancam itu.
"Sebenarnya kami menulis kertas cadangan pada tahun 2009 untuk menghasilkan dokumentari tentang harimau Malaya, tetapi tidak memperolehi dana ... Kami hanya berjaya memulakan penggambaran pada tahun 2016, menjelajah hutan di beberapa buah negeri sekitar Semenanjung Malaysia. Kami akhirnya berjaya menyiapkan dokumentari itu pada tahun 2019 dengan geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
"Apa yang kami perjuangkan ini bukan mudah .... Sebelum dokumentari ini, kami membuat banyak filem pendek dan kerja-kerja secara pro-bono (untuk kebaikan) dengan beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF Malaysia), Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) dan Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC ), untuk menyampaikan mesej bagi menyedarkan masyarakat," kongsi Lara, 57, presiden RIMAU, memberitahu Bernama.
Sementara itu, Harun, 59, yang mengetuai projek berkenaan berkata, bagaimanapun buat masa ini aktiviti RIMAU hanya bertumpu di Perak.
"Terdapat beberapa buah NGO yang aktif dengan usaha melindungi harimau, seperti WWF Malaysia, Pelindung Alam Malaysia (PELINDUNG) dan MYCAT di Pahang, Kelantan, beberapa bahagian Perak juga Terengganu. Tidak timbul soal pertindihan meskipun kami mempunyai misi yang sama," katanya.
Harimau Malaya yang sinonim dengan gelaran 'Pak Belang,' juga raja di belantara sememangnya sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di negara ini, dari zaman silam lagi dan banyak dikisahkan juga dalam cerita-cerita rakyat.
Dengan nama saintifik Panthera Tigris Malayensis, Harimau Malaya dilaporkan boleh ditemui di hutan Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pahang, Perak, Terengganu, dan Kelantan.
Bagaimanapun, populasi harimau ini semakin merosot dan menurut WWF Malaysia setakat 2022, dianggarkan kurang daripada 150 ekor, sebahagian besarnya kerana habitat haiwan ini yang terjejas akibat penggondolan hutan, pembesaran kawasan pertanian serta pemburuan yang berleluasa.
Hidupan liar ini juga 'dilindungi sepenuhnya' di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, dan diklasifikasikan sebagai Begitu Kritikal Terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Semula Jadi (IUCN).
Berganding bahu dengan komuniti
Pertama kali ditayangkan kepada pengkritik tempatan dan antarabangsa pada tahun 2021, dokumentari 'Malaysia's Last Tigers' memaparkan inisiatif pemegang kepentingan ke arah pemeliharaan harimau Malaya dan habitatnya.
Ini termasuk mencatatkan Tinjauan Harimau Kebangsaan pertama Malaysia, yang mengumpul data mengenai bilangan harimau dan habitat haiwan itu.
(Tinjauan itu dijalankan dari tahun 2016 hingga 2018, meliputi lapan habitat utama harimau di Semenanjung, terutamanya di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu)
Tayangan khas dokumentari sepanjang 48 minit itu secara khusus dengan syarikat perlombongan Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd pada 25 April 2024, bagi meningkatkan advokasi pemuliharan Harimau Malaya.
Dengan menyasarkan pemegang berkepentingan berpangkat tinggi dan komuniti diplomat, tayangan itu menarik kehadiran lebih 20 orang duta, pesuruhjaya tinggi, ketua kanan serta wakil misi diplomatik untuk berkumpul di HARTA. HARTA adalah sebuah muzium barang kemas warisan dan galeri seni oleh HABIB, bertujuan mendidik serta mendedahkan kepada orang awam tentang kebudayaan Malaysia dengan mengadakan pameran tradisi dan seni.
Sedutan sebahagian daripada dokumentari itu menunjukkan bagaimana PELINDUNG memasang kamera perangkap untuk merakam hidupan liar, terutamanya harimau Malaya dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri yang terlibat.
Juga digambarkan dalam dokumentari itu usaha pemuliharaan peronda-peronda dalam kalangan Orang Asli yang mahir selok-belok kawasan hutan juga masyarakat setempat, yang turut memainkan peranan penting dalam melindungi harimau daripada pemburu haram serta perangkap.
Lara berkata, "Kami sedar kami tak akan dapat melindungi harimau tanpa penglibatan masyarakat setempat, apatah lagi Orang Asli yang sememangnya arif dengan setiap ceruk kawasan hutan.
"Kami memulakan kerja kami di Royal Belum dengan hanya lima orang, dan kini meningkat kepada 30 orang renjer.
"Kami berjumpa dengan komuniti Orang Asli dan bercakap dengan pemimpin mereka tentang misi kami. Bekerjasama dengan Perbadanan Taman Negeri Perak, kami bermula dengan lima orang peronda dari suku kaum Jahai pada tahun 2019.
"Mereka menamakan pasukan mereka 'Menraq', yang bermaksud 'orang' dalam bahasa Jahai. Jadi orang yang menjadi pasukan peronda," kongsi Lara, menambah matlamat utama mereka adalah untuk mengawasi pemburu haram.
Menurut beliau, kini terdapat sekitar 90 orang yang meronda di tiga lokasi - Taman Negeri Royal Belum, Amanjaya dan Hutan Simpan Korbu di Perak. Di samping Jahai, beberapa orang peronda dari komuniti suku kaum Temiar.
"Projek peronda komuniti bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai Harimau Malaya tetapi juga menyediakan peluang mencari nafkah bagi anggota masyarakat dan kampung sekitar.
"Pasukan peronda ini melengkapkan usaha renjer Taman Negeri Perak untuk melindungi harimau daripada pemburu haram, yang masih menjadi ancaman besar kepada usaha pemuliharaan harimau," katanya.
Bagaimanapun, Harun berkata, pasukan peronda itu tidak menangkap pemburu haram tetapi dengan segera akan menghubungi pihak berkuasa berkenaan, seperti Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar.
"Ini untuk memastikan keselamatan haiwan berkenaan ... Mereka juga tidak mempunyai kuasa untuk menahan pemburu haram, yang kebanyakannya warga asing.
"Tetapi mereka akan mengumpul sebanyak mungkin maklumat tanpa melibatkan diri, sebagai contoh lokasi atau bilangan pemburu haram," katanya menambah, apabila peronda itu terjumpa perangkap, mereka akan menanggalkannya atau membuat laporan.
Rakam haiwan liar yang lain
Sebagai ketua projek, Harun berkata, beliau mengalami beberapa cabaran dan antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan termasuk melihat hasil rakaman kamera perangkap yang dipasang di kawasan hutan untuk merakam harimau.
"Cabaran besar kami, apabila memasang kamera perangkap, katakan 30 buah kamera, kami hanya dapat balik 20. Yang lain sama ada rosak akibat cuaca atau dirosakkan oleh hidupan liar lain seperti gajah dan monyet.
"Kami ambil kad memori, bawa balik ke makmal dan lihat hasil rakaman untuk beberapa bulan lepas.
"Perasaan gembira ialah apabila kami berjaya merakam hidupan liar lain juga seperti beruang matahari, 'Binturong' (beruang kucing), tapir Malaya, gajah Asia dan banyak lagi, " katanya, menambah gambar hidupan liar yang dirakam, dikumpul oleh PERHILITAN dan PELINDUNG.
Kolaborasi
Meskipun bilangan harimau Malaya kini dilaporkan kurang daripada 150 ekor di Malaysia, Lara percaya bilangan haiwan terancam itu akan bertambah sekiranya terdapat makanan yang mencukupi dan habitat haiwan itu di hutan tidak diganggu di samping perlindungan oleh manusia.
"Realitinya, harimau boleh membiak seperti kucing peliharaan di rumah, sediakan makanan dan perlindungan di samping kawasan hutan habitat mereka. Haiwan itu akan kembali. Kita perlu optimis," katanya.
Lara dan Harun berpandangan, usaha menyelamatkan harimau perlu ada jalinan kerjasama erat antara kerajaan, NGO dan orang awam.
Lara berkata, "memang kerajaan ada beri bantuan tetapi banyak lagi yang boleh dilakukan. Kami memerlukan komitmen tahap tertinggi.
"Kita perlu bertindak sekarang... Jika kita tidak pantas, semuanya akan berakhir. Haiwan yang pupus tidak boleh dihidupkan kembali. Kita perlu seluruh negara untuk menyelamatkan harimau," katanya.
Menurut Lara, pihaknya amat berharap lebih banyak korporat dan masyarakat sekeliling tampil dan memainkan peranan untuk menyelamatkan haiwan terancam yang menjadi ikon negara itu.
"Kami amat menghargai sokongan rakan kongsi kami seperti Vale untuk sama-sama memperjuangkan isu harimau ini," tambahnya.
Menegaskan semula dedikasi Vale untuk langkah penyelesaian berasaskan semula jadi dan operasi pemuliharaan, ketua pegawai eksekutifnya di Malaysia Leonardo Paiva berkata, Harimau Malaya mempunyai tempat yang penting dalam identiti nasional Malaysia.
"Kami berasa sukacita menyokong advokasi RIMAU untuk usaha pemuliharaan dan perlindungan. Pemuliharaan kepelbagaian biologi adalah bahagian penting dalam inisiatif pengurangan pelepasan karbon dan perkongsian, " katanya. - BERNAMA
Bernama
Tue May 07 2024

Lara percaya bilangan haiwan terancam itu akan bertambah sekiranya terdapat makanan yang mencukupi dan habitat haiwan itu di hutan tidak diganggu di samping perlindungan oleh manusia. - Gambar fail/Bernama

Hubungan dua hala Bangladesh-Malaysia diperkukuh pada Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa
Ahsan menyifatkan Malaysia sebagai model keharmonian dalam kepelbagaian komuniti linguistik.

Teknologi robotik pacu sektor pelancongan kesihatan di Melaka
Upaya memacu sektor pelancongan kesihatan yang menjadi satu daripada subsektor penting dalam industri pelancongan negeri.

Penantian veteran ATM hampir dua tahun dapat rumah baharu berakhir
Shamsudin Hamzah terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rumah baharu kerana keadaan tanah di kawasan itu dari jenis gambut.

Sarawak hasrat bida tuan rumah World Robot Olympiad
Hasrat itu selaras dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai hab kecemerlangan pendidikan robotik serta STEM.

Ribut salji sebabkan gangguan meluas di Istanbul
Ribut itu membawa penurunan suhu yang ketara serta salji lebat, dengan keadaan paling buruk dilaporkan pada Jumaat.

164,000 kelapa tua dibawa masuk penuhi permintaan menjelang Ramadan, Aidilfitri
Angka itu merangkumi 82,000 kelapa yang tiba dari Sabah bulan ini, manakala 82,000 lagi dibawa masuk dari Kepulauan Palembang pada Mac depan.

46 warga Indonesia mangsa pemerdagangan dibawa pulang, termasuk bekas ahli DPRD
46 mangsa pemerdagangan manusia itu datang dari sembilan provinsi dengan majoriti berasal dari Sumatera Utara dan Jawa Barat.

Arab Saudi anjur sidang kemuncak pembinaan semula Gaza
Arab Saudi dijadual menganjurkan sidang kemuncak peringkat tinggi pada Jumaat bagi membincangkan usaha pembinaan semula Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kuda jatuh gaung berjaya diselamatkan
Anggota bomba di daerah Orange, California bertungkus lumus menyelamatkan seekor kuda yang terjatuh ke dalam gaung pada Jumaat.
Kuda berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan dan dibawa naik menggunakan bantuan helikopter dari lokasi berbukit San Juan Capistrano.
Kuda berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan dan dibawa naik menggunakan bantuan helikopter dari lokasi berbukit San Juan Capistrano.
Lebih 700,000 penyu mendarat di pantai Rushikulya India
Lebih 700,000 ekor penyu spesies Olive Ridley mendarat di pantai Rushikulya yang terletak di timur Odisha, India. Ia rekod terbaharu penetasan penyu atau digelar oleh masyarakat tempatan sebagai fenomena 'Arribada' di pantai itu.

'Sweetnya'! Aksi maskot Rimau Malaysia dan Nila Singapura berpeluk jadi viral
Penonton di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini dihiburkan dengan keletah maskot Rimau dan Nila yang muncul secara tiba-tiba.