Kini, ibu kepada dua anak itu bukan sahaja berjaya meneruskan legasi keluarga, malah mampu menjana pendapatan melebihi lima angka sebulan.
Segalanya bermula pada tahun 2020 apabila ibu mentuanya, Siti Mariam Ab Aziz, 75, jatuh sakit.
Tanpa pengalaman dan bimbingan, Norhazimah terpaksa mengemudi perniagaan rempah-ratus yang telah wujud sejak 1975.
"Ketika itu, negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan, saya benar-benar buntu kerana tidak pernah menguruskan kilang dan semua kakitangan tidak dapat bekerja seperti biasa.
"Mujur ibu mentua memberi tunjuk ajar dan dorongan berterusan. Daripada memilih rempah mentah hingga pembungkusan dan pemasaran, saya belajar segalanya dari bawah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, produk yang dahulunya hanya dijual di pasar dan kedai runcit itu, kini menembusi pasaran antarabangsa termasuk Thailand, Brunei, Arab Saudi, England, United Kingdom dan Singapura.
Norhazimah, yang memiliki Ijazah Perniagaan, Teknologi Maklumat dan Perakaunan dari Kolej Politeknik Mara berkata, Skim Pensijilan MeSTI yang diperolehnya hujung tahun lepas menjadi pemangkin untuk membawa produknya ke pasaran lebih luas.
"Pensijilan ini memberi keyakinan kepada kami untuk menembusi pasaran lebih besar. Kami juga sedang menyiapkan pembungkusan baharu bagi menepati standard pasar raya," katanya.
"Bermula dengan hanya 150 kilogram (kg) sehari, kilang kecilnya di Selising, Pasir Puteh kini mampu menghasilkan lebih 300kg serbuk rempah-ratus sehari dengan bantuan lima pekerja tetap," katanya.
Beliau berkata kilang itu menghasilkan 11 jenis serbuk rempah masakan, termasuk rempah kari, kurma, kerutuk, dalca, gulai terung, gulai darat, serbuk kunyit dan serbuk lada.
Norhazimah berkata, kilang itu bergantung sepenuhnya kepada rempah-ratus yang diimport dari India, China, Vietnam, Indonesia dan Guatemala.
"Sebarang gangguan bekalan dari negara-negara ini boleh menjejaskan operasinya. Ada ketika stok rempah sukar diperoleh jika berlaku krisis di negara pengeksport. Pernah operasi kilang terpaksa dihentikan selama sebulan kerana bekalan terputus.
"Inilah cabaran kami kerana kebanyakan bahan mentah ini tidak terdapat di Malaysia, kecuali lada hitam yang saya dapatkan dari Sarawak dan terbaharu dari Pasir Puteh, Kelantan," katanya.
Namun, semua cabaran itu tidak mematahkan semangat dan sokongan padu daripada suaminya, Mohd Rais Mat Jusoh, 40, Norhazimah merancang untuk membesarkan kilang pemprosesan serbuk rempah-ratus itu dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Usaha itu tidak sia-sia apabila beliau dinobatkan Usahawan Terbaik jajahan Bachok menerusi program Usahawan IDEAS Malaysia yang dianjurkan Dana Kerjasama ASEAN-Korea Selatan tahun lepas.
"Program ini membuka peluang untuk saya membawa produk ke peringkat ASEAN. Saya mahu lebih ramai mengenali rempah-ratus warisan kami dan menikmati keenakan rasa yang diwarisi sejak turun-temurun," katanya dengan penuh harapan. - BERNAMA
