Skip to main content

Malaysia

Usul Gaza: Kamar Khas tidak memadai, bawa ke Dewan Rakyat penuh - Kaukus Palestin

Syed Ibrahim (tengah) berpandangan Dewan Rakyat merupakan tumpuan dunia yang sesuai untuk mengangkat isu penderitaan warga Gaza. - Foto Astro AWANI
Syed Ibrahim (tengah) berpandangan Dewan Rakyat merupakan tumpuan dunia yang sesuai untuk mengangkat isu penderitaan warga Gaza. - Foto Astro AWANI

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mahu usul berhubung Gaza dibahaskan di Dewan Rakyat penuh dan bukan sekadar dibawa ke Kamar Khas.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perbahasan di Dewan Rakyat penting bagi membolehkan isu berkenaan mendapat perhatian seluruh negara.

“Itu kurang memadai pada waktu ini sebab saya rasa Dewan itulah menjadi perhatian kepada seluruh negara. Jadi saya harap ruang itu diberi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Kaukus berkenaan akan mengemukakan cadangan usul mengenai Gaza kepada Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan memohon supaya ia dijadualkan untuk perbahasan seawal minggu depan atau dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, pihaknya turut meminta masa mencukupi diperuntukkan bagi membolehkan perbahasan secara substantif dengan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen merentas parti.

Menurutnya, usul itu antara lain akan menuntut gencatan senjata berkekalan, perlindungan orang awam serta akses bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan dan tanpa halangan.

Ia turut mengandungi seruan menolak pemindahan paksa rakyat Palestin dan menegaskan hak mereka menentukan nasib sendiri.

Kaukus juga mahu sokongan terhadap proses Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) diperkukuh mengikut bidang kuasa masing-masing, selain menghormati keputusan serta perintah kehakiman antarabangsa berkaitan.

Usul itu turut mencadangkan tindakan diplomatik diperkukuh, termasuk penelitian terhadap bantuan ketenteraan dan pemindahan senjata yang berisiko memudahkan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Selain itu, kaukus mencadangkan kerangka tindakan Malaysia yang terselaras bagi pemulihan Gaza dengan keutamaan diberikan kepada kesihatan, pendidikan, pemulihan kanak-kanak serta pembinaan semula yang diterajui rakyat Palestin.

Dalam sidang media sama, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) turut menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi ruang kepada usul itu untuk dibahaskan secara penuh.

“Saya yakin, jika persidangan perlu dilanjutkan hingga ke malam sekalipun, Ahli-Ahli Parlimen bersedia untuk terus berbahas kerana ia sangat penting sebagai suara kita,” kata Tarmizi.

Untuk rekod, hari ini menandakan genap tiga tahun sejak serangan balas oleh Hamas ke atas penaklukan haram oleh rejim Zionis Israel di Gaza dan Tebing Barat pada 7 Oktober 2023.

Israel kemudiannya melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza melalui darat, udara dan laut yang mengakibatkan lebih 70,000 warga Palestin terbunuh.

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia turut menyeru orang ramai menyertai himpunan memperingati tiga tahun konflik Gaza pada Jumaat ini, bermula jam 2 petang di Menara Tabung Haji sebelum bergerak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat.


 

Must Watch Video

Advertisement