KUALA LUMPUR: Cadangan supaya umur kelayakan Senator diturunkan daripada 30 kepada 25 tahun antara tiga usul yang dikemukakan pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), hari ini.
Usul berkenaan meminta kerajaan meneliti keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuka ruang lebih luas kepada golongan muda untuk terlibat dalam institusi Dewan Negara.
Dua lagi usul yang dibawa adalah memperkenalkan had penggal berturut-turut bagi Ahli Parlimen bagi memperkukuh pembaharuan politik, akauntabiliti dan peremajaan kepemimpinan negara serta penglibatan belia dalam pembangunan tenaga nuklear diperkasa bagi menyokong jaminan keselamatan tenaga negara pada masa hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, satu nota berkaitan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang persidangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan akan mengambil tindakan terhadap perkara yang berada dalam bidang kuasanya, manakala isu membabitkan kementerian lain akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Jemaah Menteri.
“Kami mengambil maklum perkara tersebut dan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, kami akan melaksanakan segala perkara yang boleh kita buat perubahan dengan kadar segera.
“Bagi kementerian-kementerian lain, sudah pasti kita perlu bawa perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia, mesyuarat Kabinet secara mingguan dan juga di peringkat tertinggi di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Persidangan MPBN penggal ke-35, sesi 2025-2026 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai cadangan supaya had umur belia dinaikkan daripada 30 kepada 35 tahun, Mohammed Taufiq berkata perkara itu memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut berdasarkan fakta serta data.
Katanya, pindaan had umur belia kepada bawah 30 tahun baru dilaksanakan kira-kira lapan bulan lalu.
“Sebarang pindaan atau perubahan yang ingin dilaksanakan perlulah berdasarkan fakta dan data.
“Kalau fakta mengatakan bahawa lebih positif jika had umur belia ini kekal seperti hari ini, maka kita akan kekalkan tetapi kalau fakta dan data mengatakan sebaliknya, maka kita boleh kaji semula perkara tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, keputusan yang telah dibuat Kabinet dan diluluskan Parlimen tetap dihormati, namun perbincangan mengenai perkara itu perlu diteruskan secara berterusan dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
“Kita tidak boleh menurunkan had umur belia itu hanya semata-mata disebabkan oleh sentimen ataupun cakap-cakap satu dua pihak yang mengatakan susah untuk mendapat lebih ramai pemimpin baharu,” ujarnya lagi.