Ringkasan AI
- Polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 23 tahun selepas tular video yang menunjukkan seorang anggota polis dimarahi di hadapan IPD Kulai pada Selasa.
- Keempat-empat suspek ditahan antara jam 5.20 petang hingga 7.40 petang, dan beberapa peranti dirampas untuk membantu siasatan.
- Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala kes akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, laporan berhubung insiden itu diterima pada jam 4.40 petang.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan empat suspek berusia antara 17 hingga 23 tahun antara jam 5.20 petang hingga 7.40 petang pada hari sama. Beberapa peranti turut dirampas bagi membantu siasatan.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, tiga suspek direman selama tiga hari, manakala seorang lagi direman sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar perselisihan faham dalam kejadian itu. Kes akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 37 saat memaparkan tiga lelaki bersama seorang anggota polis 'bertegang urat' di hadapan IPD Kulai.
Berdasarkan video terbabit salah seorang lelaki terbabit kelihatan meninggikan suara ke arah anggota polis berkenaan dengan berkata: "Kau diam la... aku tiada wang, kau ada pakai baju kau ada kuasa, aku tiada pakai baju (uniform polis), kau buka lah," katanya. - Sinar Harian
