Timbalan Pengarah Tourism Malaysia (India Selatan dan Sri Lanka), Shahrim Tan berkata, pihaknya telah memulakan usaha dengan mengadakan jerayawara pada tahun ini bagi menjayakan kempen tersebut.
"Kami baru sahaja selesai mengadakan program jerayawara dari 3 hingga 10 Feb lepas, program ini adalah perniagaan-ke-perniagaan (B2B) di mana kami membawa pemain industri dari Malaysia.
"Kami membawa kira-kira 65 agensi pelancongan untuk turut serta," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kebudayaan Extravaganza oleh Avichi College of Arts and Science di kolejnya di sini, pada Selasa, yang turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, K. Saravana Kumar.
Program tersebut dianjurkan sempena lawatan media ke Chennai oleh Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dari 3 hingga 6 Mac.
Shahrim berkata, jerayawara tersebut dimulakan di tiga bandar utama di Selatan India, iaitu Hyderabad, diikuti Bengaluru, Cochin dan berakhir di Colombo, Sri Lanka.
Pada 19 Feb, Malaysia melancarkan kempen pelancongan berskala besar di India sempena pameran pelancongan terkemuka di New Delhi, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari negara itu.
Pelancaran kempen VM2026 di India itu adalah usaha untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari India sekurang-kurangnya 25 peratus tahun depan, berbanding dengan 1.13 juta pelawat yang direkodkan pada 2024.
Sementara itu, Shahrim memaklumkan, India merupakan antara negara terpenting untuk dalam pelancongan ke Malaysia dan merupakan salah satu negara utama dalam kalangan negara jarak sederhana.
Katanya, India juga merupakan pasaran utama pelancongan Malaysia, justeru Tourism Malaysia mempunyai tiga pejabatnya di New Delhi, Mumbai dan Chennai.
Beliau juga berkata, penerbangan paling banyak dicatatkan di selatan India yang terdiri daripada Tamil Nadu, Karnataka, Kerala, Andhra Pradesh dan Telagana, dengan hampir 64 penerbangan setiap minggu berbanding 20 penerbangan dari utara India. - BERNAMA
