Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihak kementerian masih menyiasat punca jangkitan dan mendapatkan laporan terperinci berhubung penyakit tersebut yang telah menyebabkan satu kematian pada Isnin lalu.
“Punca masih belum dikenal pasti tapi memang berkait rapat dengan penyakit kusta dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Ada proses dan prosedur dalam menjalankan siasatan ini. Selepas maklumat diperoleh, kita akan uar-uarkan dan kajian terperinci perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Inisiatif Senaman Ringan (X-BREAK) Institusi Pendidikan Peringkat Kebangsaan di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia pada Isnin akibat wabak kusta, manakala lapan lagi individu sedang dirawat.
Menurutnya, kes berkenaan mula dikesan pada 2 Januari lalu membabitkan sembilan penduduk Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur.
Tambah beliau, saringan secara agresif telah dijalankan oleh KKM terhadap semua penduduk di kedua-dua kampung berkenaan. - Sinar Harian
