Ringkasan AI
- Seorang wanita sarat hamil cedera selepas pacuan empat roda yang dinaikinya bersama suami dihempap kayu balak yang terjatuh dari lori di Sungai Udin, Jalan Merotai-Kalabakan.
- Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang, di mana wanita berusia 31 tahun dirawat di Hospital Tawau, manakala suaminya tidak cedera.
- Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pemandu lori didapati memandu tidak cermat hingga menyebabkan kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, wanita berusia 31 tahun itu kini dirawat di Hospital Tawau manakala suaminya berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, kejadian melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux dan sebuah lori membawa muatan kayu balak yang dipandu lelaki berusia 38 tahun.
"Siasatan awal mendapati, pemandu lori dalam perjalanan dari arah Kalabakan-Merotai menuju ke Log Pond manakala pemandu pacuan empat roda bersama isterinya dari arah Bandar Tawau menuju ke Luasong.
"Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba sebatang kayu balak terjatuh dari lori yang datang dari arah bertentangan dan menghempap hadapan pacuan empat roda tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Champin berkata, akibat kejadian itu menyebabkan pacuan empat roda mengalami rosak teruk di bahagian hadapan.
"Sementara itu, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan manakala isterinya yang sedang sarat mengandung menerima rawatan di zon kuning Hospital Tawau.
"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan," katanya. - Sinar Harian
