Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed berkata dalam kejadian pada 2.24 pagi itu, kereta dipandu mangsa Manisya Azlin Ishak, 25, dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan lori tentera di laluan bertentangan.
"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa yang bekerja sebagai operator pusat panggilan syarikat telekomunikasi itu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azrul berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah membantu mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
Beliau berkata pemandu lori tentera yang patah tangan telah dihantar ke hospital untuk dirawat manakala empat anggota tentera lain yang berada dalam lori itu tidak mengalami kecederaan.
Katanya kenderaan yang terlibat dalam nahas itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan teknikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-- BERNAMA