Hakim Datin Surita Bidin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman terhadap lelaki berusia 63 tahun itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 9 Feb lepas.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang pesara didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Seremban 2, antara 6.30 hingga 8.30 pagi pada 3 dan 4 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa mengugut mangsa untuk melakukan aktiviti yang bersifat seksual di lokasi sama kira-kira 6.30 pagi pada 4 Feb, dan didakwa mengikut Seksyen 15B(a) AKSTKK 2017 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Tertuduh ketika rayuannya memohon mahkamah menawarkan jaminan yang rendah kerana menghidap strok kecil selain perlu menanggung dua isteri dan dua anak serta telah menyesal atas perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi meminta mahkamah menetapkan hukuman penjara dan sebatan yang setimpal sebagai pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.
"Usia mangsa adalah 12 tahun dan perlu ambil kira kekerapan kes seksual yang tidak gagal dipertuduhkan. Dalam kes ini, tertuduh merupakan bapa saudara mangsa dan dia tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu," katanya.
Mengikut fakta kes, mangsa masih bersekolah dan tinggal bersama ibu saudara dan tertuduh, kerana bapa kandungnya dirawat di Hospital Serdang akibat masalah jantung dan ibu mangsa menemani bapanya.
Sementara itu, seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap cucu lelaki tiri berusia berusia enam tahun tiga bulan di sebuah rumah pada waktu pagi, dari Januari hingga Februari 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 14 (b) AKSTKK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak menganggu saksi dan mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada serta memberi kerjasama dengan polis sekiranya dipanggil.
Sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen ditetapkan pada 19 Mac ini.
-- BERNAMA