Ringkasan AI
- Astro AWANI menjadi organisasi berita Malaysia pertama yang menghantar wartawannya membuat laporan langsung dan eksklusif dari Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.
- Misi liputan ini akan memberi fokus kepada mangsa perang saudara yang masih hidup di khemah pelarian di sekitar Homs, Idlib, Aleppo, dan Damsyik.
- Syria kini diperintah oleh kerajaan interim di bawah pimpinan Ahmad al-Shara, dan Global Peace Mission (GPM) akan mengadakan beberapa pertemuan dengan pimpinan Kerajaan Sementara serta organisasi kemanusiaan tempatan untuk membincangkan usaha pembangunan semula pasca peperangan.
Wartawannya, Hilal Azmi, akan menjayakan misi liputan ini secara solo, sekali gus menegaskan komitmen saluran berita itu untuk menyampaikan laporan mendalam dari lapangan melalui lensa dan perspektif Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM), Syahrir Azfar Salleh, misi kali ini akan memberi fokus kepada mangsa perang saudara yang masih hidup di khemah pelarian di sekitar Homs, Idlib, Aleppo dan juga di Damsyik.
Ini merupakan lanjutan daripada misi yang telah mula digerakkan sejak 2011 melalui projek khas Malaysia for Syria yang telah menghantar bantuan lebih RM30juta bantuan rakyat Malaysia termasuk pembinaan Perkampungan Syrian AlHayah yang kini dihuni lebih daripada 100 buah keluarga.
GPM juga telah berjaya melaksanakan pembinaan masjid, sekolah, telaga air, kilang roti, ladang penternakan kambing, ladang gandum di samping bantuan berterusan setiap tahun untuk musim sejuk, iftar bulan Ramadan dan juga agihan daging korban.
Misi kali ini pastinya berbeza memandangkan Syria telah diisytiharkan bebas daripada pemerintahan kejam Presiden Bashar Asad pada 8 Disember 2024.
Ketika ini Syria diperintah oleh kerajaan interim di bawah pimpinan Ahmad al-Shara dan GPM bakal mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa pimpinan Kerajaan Sementara serta organisasi kemanusiaan tempatan Syria bagi membincangkan beberapa usaha pembangunan semula pasca peperangan di dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keperluan asas.
Rakyat Malaysia yang ingin turut serta membantu Syria boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Global Peace Mission menerusi pautan dalam talian jomsedekah.com/winteremergencyrelief.