KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Xeraya Capital Sdn Bhd (Xeraya) mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat induknya, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan berhubung isu dokumentasi urus niaga terdahulu.
Menerusi satu kenyataan media pada Khamis, Xeraya memaklumkan bahawa pihaknya telahpun mengambil langkah-langkah proaktif untuk meneliti perkara berkenaan.
"Selaras dengan komitmen kami terhadap tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan, Lembaga Pengarah telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan serta memperkukuh proses pengawasan jika perlu.
"Lembaga Pengarah kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Khazanah dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan," menurut kenyataan syarikat itu.
Xeraya turut menegaskan kesediaan untuk memberikan sokongan dan kerjasama penuh terhadap sebarang semakan, siasatan atau sesi libat urus yang bakal dilaksanakan.
Langkah itu diambil bagi memastikan amalan piawaian tertinggi dalam aspek tadbir urus serta pengurusan amanah dapat terus dipertahankan demi kepentingan syarikat dan para pemegang taruh.
Terdahulu, Khazanah mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan siasatan forensik dimulakan terhadap Xeraya Capital selepas isu legasi berkaitan ketidakaturan dokumentasi urus niaga dikenal pasti pada Julai lalu.