Saksi pendakwaan ke-24, Dr Bernice Lim Pei-Yi yang bertugas di Pusat Perubatan Pakar Sri Kota, Klang berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30 dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Berdasarkan laporan yang dibuat pada 20 Disember 2023, Dr Bernice, 37, berkata, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu juga tidak boleh menyambung antara dua perkataan.
Susulan itu beliau berkata, ia tidak selari dengan perkembangan kanak-kanak enam tahun, seusia dengannya.
“Memandangkan saya tidak pernah berjumpa dengan Zayn Rayyan, laporan telah ditulis berdasarkan dua nota perubatan yang pernah direkod dalam sistem komputer hospital.
“Kali pertama pesakit tersebut dibawa kepada Klinik Pediatrik Hospital Selayang ialah pada 4 Oktober 2022 manakala kali kedua atau terakhir ialah pada 5 September 2023,” katanya.
Beliau berkata, Zayn Rayyan diagnosis sebagai ‘autism spectrum disorder’ dan disarankan menghadiri terapi untuk penyakit tersebut.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan bagi kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, seramai empat saksi sahaja lagi akan dipanggil memberi keterangan terhadap ibu bapa kanak-kanak autisme terbabit.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Beliau memohon, prosiding diteruskan untuk memanggil empat saksi berkenaan pada 7 April depan.
“Pihak pendakwaan percaya, tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini ialah selama 10 hari.
“Kami akan menghabiskan kes pendakwaan pada bulan depan,” katanya di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Hakim: Pagi tadi ada pindaan pertuduhan, adakah pihak-pihak boleh sahkan, sama ada terdapat mana-mana saksi yang akan dipanggil semula?
Peguam: Tiada
Pendakwaan: Tiada saksi yang akan panggil semula.
Hakim: Jadi kedua-dua pihak sahkan tiada saksi akan dipanggil semula, mahkamah rekodkan perkara itu.
Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan bersambung 7 April depan. - Sinar Harian
