Skip to main content

Politik

Akta khusus kawal selia parti politik wajar diwujudkan – Bersih

Muhammad Faisal berpandangan, parti politik dicadang didaftar, dikawal selia menerusi akta khusus bagi memperkukuh ketelusan dan tadbir urus politik.
Muhammad Faisal berpandangan, parti politik dicadang didaftar, dikawal selia menerusi akta khusus bagi memperkukuh ketelusan dan tadbir urus politik.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Parti politik wajar didaftarkan dan dikawal selia menerusi akta khusus yang berasingan daripada undang-undang pertubuhan sedia ada bagi memperkukuh ketelusan serta tadbir urus politik negara.

Perkara itu disuarakan Presiden Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz yang berpandangan kewujudan Akta Parti-Parti Politik dapat menyediakan kerangka kawal selia lebih menyeluruh, termasuk aspek pendaftaran, kewangan dan pertikaian dalaman parti.

Ia susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetuskan pertikaian berhubung proses dan bidang kuasa badan yang mengawal selia parti politik.

“Apabila Parti Politik berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], persoalan boleh berbangkit tentang kebebasan Pendaftar Pertubuhan dari pengaruh Eksekutif walaupun Seksyen 3 (1) Akta tersebut secara jelas menyatakan pelantikan Pendaftar hanya dibuat oleh YDPA (Yang di-Pertuan Agong),” katanya dalam kenyataan di laman platform X.

“Justeru, melihat kepada penyelesaian jangka panjang, adalah wajar untuk Parti Politik didaftarkan dan dikawal selia oleh Akta Parti-Parti Politik secara berasingan dari pertubuhan-pertubuhan lain,” katanya.

Beliau mengambil contoh pelaksanaan Political Parties Act 2011 di Kenya, beliau berkata Seksyen 35 akta itu menggariskan kaedah penubuhan serta keanggotaan jawatankuasa pemilih yang bertanggungjawab melantik Pendaftar Parti Politik.

Menurutnya, akta berkenaan bukan sahaja merangkumi urusan pendaftaran, malah menetapkan tatacara pembentukan gabungan politik sebelum atau selepas pilihan raya.

Ia turut merangkumi kawal selia kewangan parti, termasuk kewajipan mengisytiharkan aset, perbelanjaan dan sumbangan dana politik.

Selain itu, Faisal berkata, akta berkenaan boleh menyediakan tribunal khas bagi mengadili pertikaian antara ahli parti, ahli dengan parti serta anggota gabungan politik.

Katanya, mekanisme itu penting bagi memastikan pihak yang terlibat mempunyai ruang untuk mendapatkan keadilan serta hak untuk didengari.

Sehubungan itu, beliau menggesa wacana melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk pimpinan politik, dilaksanakan secara berperingkat bagi menilai keperluan mewujudkan Akta Parti-Parti Politik sebagai reformasi jangka panjang dalam sistem politik Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement