PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) tidak mahu terlalu angkuh atau yakin walaupun kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini memberi momentum positif.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, gabungan itu memilih untuk terus merendah diri dan menghargai sokongan rakyat yang diterima setakat ini.
"Alhamdulillah, kita dengan penuh tawaduk, kita tidak mahu terlalu angkuh, terlalu yakin kerana kita masuk waktu pilihan raya di Negeri Sembilan pun dengan pendekatan underdog.
"Itu diperingatkan berkali-kali oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kita tahu di mana kita berada pada waktu itu, tetapi kita menggunakan strategi dan pendekatan yang baik," katanya selepas menyempurnakan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani 2026, di sini, pada Isnin.
Jelas beliau, BN juga menggunakan strategi lebih positif dengan menumpukan kepada usaha menawarkan kestabilan kepada rakyat, berbanding pendekatan menyerang lawan.
Zambry turut mengakui, keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan gelombang sokongan yang positif terhadap BN, namun menegaskan ia sama sekali tidak akan membuatkan mereka leka.
“Kita boleh lihat trend yang ada daripada Johor hinggalah ke Negeri Sembilan dan saya doakan momentum yang sama serta sokongan yang sama daripada rakyat akan berterusan kepada BN,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama katanya, BN tetap memegang janji untuk memastikan supaya Kerajaan MADANI dapat berjalan dengan stabil sehingga ke penghujung penggal.
“Jadi asas itu kita pegang. Apa pun dari segi keputusan-keputusan selanjutnya, akan dibincangkan di peringkat tertinggi BN termasuk juga di peringkat UMNO,” jelasnya.