PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) tidak campur tangan dalam urusan adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dibuat mengikut proses yang ditetapkan.
“Dalam soal krisis adat dan sebagainya, pendekatan Barisan Nasional adalah kita tidak boleh mengambil pendekatan untuk mencampuri sama sekali, kerana apa yang kita ada… kita telahpun berhadapan dengan pilihan raya.
“Pilihan raya negeri ini memerlukan penglibatan parti-parti politik untuk bertanding dalamnya. Maka hari ini kita melihat, kita telahpun berjaya membentuk kerajaan itu. Pelantikan Menteri Besar telahpun dibuat, kita mengikuti proses yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani 2026, di sini, pada Isnin.
Maklum balas itu bagi menjawab dakwaan Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim yang mempersoal proses pelantikan Ismail Lasim, dengan mendakwa wujud campur tangan luar dalam urusan adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Menurut Zambry, semua pihak berhak menyuarakan pandangan masing-masing dan pihaknya tidak akan menyekat pandangan yang dikemukakan.
“Soal itu telahpun kita ambil kira semua faktor dan langkah-langkah yang kita ambil pun, kita lihat daripada kesemuanya.
“Maka, soal-soal teknikal itu saya fikir biarlah kemudian, yang nak dipersoalkan. Kita tidak boleh mahu sekat pandangan-pandangan yang diberikan itu. Itu bergantung kepada beliau (Rais). Itu pandangan yang beliau sampaikan,” ujarnya.