KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Khamis memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement - CSA) bersama Kerajaan MADANI bagi menjamin kelulusan Belanjawan serta memastikan kestabilan politik negara.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemeteraian itu mencontohi persefahaman rentas parti yang pernah dilaksanakan ketika era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, fokus utama perjanjian tersebut adalah untuk memastikan pentadbiran negara berjalan teratur dalam mendepani isu kos sara hidup dan ekonomi rakyat.
"Tujuannya tidak lain tidak bukan ialah untuk mewujudkan situasi negara yang lebih stabil untuk meneruskan urusan-urusan penting bagi rakyat, terutama dalam soal ekonomi, kos sara hidup, dan sebagainya.
"Dengan adanya perjanjian ini, maka kestabilan itu dapat membantu kerajaan menguruskan negara dengan lebih teratur," katanya ketika ditemui wartawan, selepas majlis pemeteraian tersebut hari ini.
Pemeteraian memorandum tersebut melibatkan Kerajaan Persekutuan yang diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, serta Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan komitmen utama Bersatu di bawah CSA tersebut merangkumi sokongan penuh terhadap pembentangan dan kelulusan Belanjawan di Dewan Rakyat.
"Antara perkara yang telah pun dipersetujui bersama ialah bahawa kita di peringkat Bersatu, Ahli Parlimen kita akan menyokong belanjawan yang sedang pun dibahaskan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persetujuan tersebut tidak mengubah status Bersatu di Dewan Rakyat dan parti itu kekal menjalankan peranan di blok pembangkang.
"Kami, saya khususnya daripada pihak Bersatu dan pembangkang masih meneruskan tanggungjawab kita untuk check and balance.
"Perjanjian ini tidak bermakna bahawa kita lepas daripada tanggungjawab kita sebagai pembangkang. Masih kekal pembangkang," tambah beliau.
Beliau berkata perjanjian berkenaan dirangka untuk terus berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan, tertakluk kepada kepatuhan terma-terma yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.