Skip to main content

Politik

Finale Trak Kancil tetap diteruskan di Dataran MADANI - Rafizi

Rafizi bercakap pada sidang media di Ruang Bersama Melaka, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
Rafizi bercakap pada sidang media di Ruang Bersama Melaka, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Parti BERSAMA Malaysia akan meneruskan ceramah kemuncak di Dataran MADANI, Ayer Keroh walaupun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
  • Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan program diteruskan kerana permit telah diluluskan Polis Diraja Malaysia dan telah dirujuk kepada SPR serta polis.
  • Bersama mendakwa terdapat gangguan kecil sepanjang kempen, namun tiada insiden besar berlaku setakat ini.
Advertisement

BATU BERENDAM: Parti BERSAMA Malaysia (Bersama) tetap meneruskan ceramah kemuncak kempen di Dataran MADANI, Ayer Keroh pada Jumaat ini meskipun menerima surat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak membenarkan penggunaan lokasi berkenaan.

Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, program Trak Kancil itu akan diteruskan berdasarkan permit yang telah diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, Bersama menerima surat daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang menyatakan penggunaan dataran berkenaan tidak dapat dipertimbangkan.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan keputusan itu kerana mendakwa lokasi sama pernah digunakan Perikatan Nasional (PN) untuk program kempen pada hujung minggu lalu.

"Kalau parti lain buat, dia tak ada masalah. Tapi bila kami melalui proses itu, kita mohon dengan pihak polis, sudah dapat permit.

Advertisement

"Tak wajar kerana sesiapa pun dalam keadaan kami akan merasakan seolah-olah ada pihak berkuasa tempatan tertentu cuba menghalang kempen sesetengah parti sahaja," katanya pada sidang media di Ruang Bersama Melaka, di sini hari ini.

Rafizi berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis sebelum memutuskan untuk meneruskan program berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan panduan yang diterima, urusan permit ceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya berada di bawah bidang kuasa polis.

"Saya maklumkan secara terbuka bahawa ceramah finale Trak Kancil itu akan diteruskan di Dataran MADANI seperti permit yang telah diluluskan oleh pihak polis.

"Saya juga harap supaya tidak ada gangguan di saat akhir untuk menghalang, minta tukar tempat, halau ke apa," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kekecohan ketika program itu berlangsung sehari sebelum hari pengundian.

"Kita berdoa supaya jangan kacau, tapi kalau kacau kami lebih daripada bersedia," katanya lagi.

Rafizi berkata, kenyataan itu dibuat lebih awal bagi mengelakkan sebarang insiden membabitkan penguat kuasa tempatan ketika penyokong sudah berkumpul di lokasi ceramah.

Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa terdapat gangguan kecil sepanjang kempen termasuk insiden bendera dibakar dan penggunaan pembesar suara oleh pihak lawan ketika ceramah di Sungai Udang.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai cabaran biasa dalam kempen pilihan raya dan mengakui tiada insiden besar berlaku setakat ini.

Must Watch Video

Advertisement