Ringkasan AI
- Sesi penerangan Majlis Perkhidmatan Parlimen di Dewan Rakyat kecoh apabila isu pengurusan peruntukan kepada wakil rakyat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen.
- Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan pengurusan peruntukan diserahkan kepada Parlimen, namun dibantah Chong Zhemin yang menegaskan ia bidang kuasa eksekutif.
- Yang Dipertua Dewan Rakyat menegaskan Parlimen kini mentadbir urusan sendiri dan meminta semua pihak memberi ruang kepada proses perbincangan.
KUALA LUMPUR: Sesi penerangan Majlis Perkhidmatan Parlimen di Dewan Rakyat, di sini, kecoh apabila Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertikam lidah berhubung isu pengurusan peruntukan kepada wakil rakyat.
Kekecohan tercetus selepas Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkitkan persoalan mengenai maksud perkhidmatan yang adil kepada semua Ahli Parlimen, selain mencadangkan supaya pengurusan peruntukan wakil rakyat diserahkan kepada pihak Parlimen.
Beliau mendakwa Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan berkenaan dan mempersoalkan mengapa pengurusannya masih membabitkan campur tangan pihak eksekutif.
Shahidan turut menegaskan bahawa peruntukan kepada Ahli Parlimen kerajaan juga perlu diuruskan oleh Parlimen bagi memastikan layanan yang adil kepada semua wakil rakyat.
Mendengar perkara itu, Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun membantah kenyataan Shahidan dan menegaskan bahawa peruntukan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa eksekutif.
"Jangan kelirukan kuasa legislatif dengan eksekutif. Peruntukan itu kuasa eksekutif, kuasa eksekutif itu Perdana Menteri boleh tentukan nak beri kepada siapa.
"Arau (Shahidan) sudah keliru, hak Parlimen dengan kuasa Parlimen pun tidak faham," katanya.
Pertikaman lidah berterusan apabila kedua-dua Ahli Parlimen saling mencelah, sebelum Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, meminta mereka supaya duduk.
Johari berkata, Parlimen kini diberikan kuasa untuk mentadbir urusannya sendiri tanpa campur tangan pihak eksekutif, justeru semua pihak perlu memberi ruang kepada proses perbincangan.
"Amat malang, baru kita katakan, Parlimen sekarang ini diberikan kuasa untuk mentadbir diri sendiri tanpa ganggu gugat daripada eksekutif.
"Biarlah wakil-wakil ini duduk dulu. Majlis Peralihan Pentadbiran dan Perkhidmatan Parlimen pun baru tubuh, biarlah mereka berbincang.
"Wakil daripada pembangkang dua orang, bincang dulu. Saya pengerusi akan dengar kedua-dua pihak dan berlaku adil kepada semua," katanya.