MELAKA: Kerajaan negeri perlu seiring dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap perancangan dan dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus memberikan manfaat lebih besar kepada rakyat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keselarasan dari segi hala tuju dan pendirian antara kedua-dua peringkat pentadbiran juga penting bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Harus ada pemimpin (di peringkat negeri) yang seiring dengan pendirian kerajaan di peringkat Persekutuan supaya segala perancangan yang melibatkan pembangunan rakyat di negeri itu dapat berjalan seiring dengan matlamat dan juga hasrat kerajaan di peringkat Persekutuan.
"Pilihan raya negeri kali ini penting untuk rakyat Melaka menilai bagaimana negeri juga dapat memainkan peranan dalam menyumbang pertumbuhan ekonomi dan prestasi perdagangan, kedudukan negara secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ceramah kelompok kempen Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang Farzana Hayani Mohd Nasir, di sini, malam tadi.
Mengambil contoh projek Melaka Gateway, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, projek itu berpotensi memberikan nilai tambah kepada pembangunan dan perdagangan negeri sekiranya diuruskan dengan baik, namun masih terbengkalai untuk tempoh lama meskipun beberapa janji untuk memulihkannya pernah dibuat.
"Namun, sehingga hari ini masih belum ada apa-apa tindakan diambil oleh kerajaan negeri. Ini tidak termasuk beberapa lagi projek penting lain di negeri Melaka," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan isu-isu rakyat yang memerlukan campur tangan kerajaan pusat dapat disalurkan dan diberi perhatian dengan lebih berkesan dan ia akan dapat direalisasikan sekiranya PH dapat menubuhkan kerajaan baharu di Melaka selepas PRN.
Mengenai Farzana Hayani, katanya, jika calon muda itu diberi mandat oleh pengundi DUN Kelebang, beliau akan bantu menyelesaikan masalah yang mendesak di kawasan itu, antaranya melibatkan isu banjir berulang di Bukit Rambai dan Seberang Gajah sejak 20 tahun lepas.
"Saya sendiri akan bercakap dengan Perdana Menteri. Angkat permohonan kepada Perdana Menteri (mengenai isu itu) sepertimana saya lakukan sebulan lepas di kawasan ini kerana ada keperluan yang mendesak," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/
-- BERNAMA