KUALA LUMPUR: Kes saman difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim selesai secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Saman itu berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar berkata kedua-dua pihak mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan awam.

"Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Gani di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini," kata peguam itu dalam satu kenyataan hari ini.

Nair berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan pertikaian setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh mereka, memandangkan terdapat banyak isu lebih besar atau penting perlu diberikan perhatian.

"Selain itu, ia rentetan daripada tindakan Ahmad Amzad menarik balik kenyataan dibuat olehnya pada 7 Dis 2022 dan secara kesannya Anwar menarik balik saman itu. Penyelesaian itu adalah persetujuan bersama dan Anwar akan menarik balik saman fitnah tersebut tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang kos," katanya.

Nair berkata kedua-dua pihak merakamkan penghargaan kepada hakim dan pegawai mahkamah yang terlibat, serta berharap agar keputusan itu dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian negara.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 22 Dis 2022, Anwar selaku plaintif mendakwa pada 7 Dis tahun sama, Ahmad Amzad sebagai defendan membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai Penasihat Ekonomi, serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa, kerana beliau menentang rasuah.

Beliau mengecam semua dakwaan terhadapnya mengenai penerimaan gaji RM15 juta dan tuduhan jenayah lampau yang dibuat itu adalah bermotifkan politik.

-- BERNAMA