Setiausahanya, Zurk Ahmad berkata, langkah itu bukan sahaja menghormati sensitiviti masyarakat Islam, malah turut membantu menangani gejala sosial yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan minuman keras.
"Hakikatnya, dasar ini sangat bertepatan dengan aspirasi negara yang sebenar iaitu 'Masyarakat Madani' yang lebih beretika dan sejahtera.
"Selain itu, kami ingin mengingatkan pihak menteri bahawa punca sebenar kepada semakin lebarnya jurang perpaduan dalam negara ialah kenyataan-kenyataan dan tindakan pemimpin DAP yang dibuat berdasarkan dasar perjuangan mereka iaitu 'Negara Sekular' dan 'Malaysian Malaysia'.
"Tindakan mereka yang kerap masuk campur dalam urusan umat Islam yang mana sebahagian daripada perkara 3R dalam negara ini menjadi faktor utama rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk ini hidup dalam ketegangan," ujarnya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Terdahulu, pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan MBI telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.
Media melaporkan, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Berikutan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Perkara itu ditegaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menurutnya, ketetapan tersebut bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Menurut Kor Ming lagi, perpaduan rakyat ketika ini sudah berada di landasan yang betul dan semua pihak seharusnya fokus terhadap usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang disanjung di pentas dunia.
Mengulas lanjut, Zurk menegaskan bahawa kenyataan Kor Ming memerlukan penelitian lebih mendalam kerana realiti semasa menunjukkan hala tuju negara sebenarnya memerlukan pembetulan pada beberapa aspek utama.
Menurutnya, Malaysia tidak boleh dianggap berada di landasan progresif selagi budaya minuman keras terutamanya di kawasan majoriti Muslim terus berleluasa.
Ujarnya, statistik dan kajian membuktikan bahawa budaya minuman keras menyumbang kepada pelbagai masalah sosial seperti kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga dan isu kesihatan mental.
"Langkah progresif yang sebenar adalah dengan membanteras budaya ini demi membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan harmoni.
"Jika benar ingin membawa Malaysia ke pentas dunia, tindakan itu mesti selari dengan prinsip perpaduan yang menghormati sensitiviti masyarakat majmuk dan tidak membawa agenda 'Malaysian Malaysia' dan 'Negara Sekular' oleh Dap," tambahnya. - Sinar Harian