KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menyerahkan kepada kepimpinan UMNO Melaka untuk menentukan hala tuju perbincangan dan rundingan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat MKT UMNO bersetuju supaya kepimpinan UMNO negeri mengadakan perbincangan dengan parti-parti yang berminat untuk menjalinkan kerjasama menjelang pilihan raya akan datang.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk kepimpinan UMNO negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mandat Kerajaan Negeri Melaka akan tamat pada 31 Disember ini.
Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi.