Skip to main content

Politik

'Pas perlu fikir lebih mendalam jika letak Ahmad Zahid calon 'poster boy' PRU16' - Aktivis

JOHOR BAHRU, 3 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor, di Flat Perumahan Larkin Court 1 hari ini.Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon N44 Larkin Mohd Hairi Mad Shah._BERNAMA
Lokman berkata, Ahmad Zahid sendiri hampir ditolak oleh pengundi Bagan Datuk sendiri pada PRU yang lalu berhubung dakwaan rasuah. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebagai parti dominan dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Pas seharusnya memikirkan sedalam-dalamnya mengenai pemilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Aktivis politik, Lokman Bonyamin berkata, ini kerana Ahmad Zahid sendiri hampir ditolak oleh pengundi Bagan Datuk sendiri pada PRU yang lalu berhubung dakwaan rasuah.

Namun katanya, jika mahu menang PRU16, BN-PN perlu meletakkan calon 'poster boy' untuk pertimbangan rakyat kerana calon Perdana Menteri sangat penting dalam PRU.

“Jika BN-PN meletakkan Ahmad Zahid sebagai poster boy, pastinya ia akan mengundang penolakan rakyat dan memberi kelebihan buat Pakatan Harapan (PH).

“BN-PN boleh menjalinkan persefahaman serta kerjasama pilihan raya tanpa membentuk gabungan rasmi. Pendekatan ini bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi kedua-dua pihak.

“Sehubungan itu, setiap parti bebas menampilkan poster boy masing-masing. Soal calon Perdana Menteri pula hanya akan dirundingkan selepas keputusan PRU16 diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberikan ulasan sinis kepada kenyataan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU16.

Menurut Pengerusi BN itu, parti Wawasan kini sedang dalam fasa untuk muncul sebagai entiti baharu memasuki arena politik negara.

Dalam pada itu, Lokman berkata, cadangan menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU16 merupakan pandangan peribadi Saifuddin dan tidak semestinya mencerminkan pendirian mana-mana gabungan atau parti lain.

Mengenai pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa terdapat unjuran yang meramalkan Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri ke-11 sekiranya parti tersebut bergabung dengan PH dan mendominasi kerajaan selepas PRU16, beliau berkata, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendekatan politik masing-masing.

Katanya, ia sama ada bertanding secara solo atau menjalinkan persefahaman serta kerjasama dengan mana-mana parti.

“Keputusan berhubung perkara tersebut boleh dibuat sebelum PRU16, manakala sebarang kerjasama lanjutan atau pembentukan kerajaan selepas pilihan raya bergantung kepada keputusan PRU16 dan rundingan antara parti-parti yang terlibat,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement