KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan perpaduan dan kestabilan dalam gabungan itu penting bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan.
Katanya, kekuatan politik Sabah perlu bermula dengan kesatuan dalam GRS, tanpa pertelagahan atau perebutan kepentingan antara parti komponennya.
Menurutnya yang juga Ketua Menteri Sabah, ketidakstabilan politik bukan sahaja menyebabkan pertukaran kerajaan dan perubahan dasar, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta pelaksanaan perancangan pembangunan.
“Kalau kita mahu Sabah mempunyai kuasa tawar-menawar yang kuat di peringkat Persekutuan, kekuatan itu mesti bermula di rumah politik kita sendiri.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah,” katanya ketika berucap pada Konvensyen GRS 2026 hari ini.
Hajiji berkata, kepercayaan rakyat tidak boleh bergantung semata-mata kepada status pemimpin sebagai anak tempatan, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi keberkesanan pentadbiran dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Katanya, rakyat mahu melihat perubahan nyata termasuk peluang pendidikan yang lebih baik, jaminan keperluan asas serta peluang ekonomi yang membolehkan keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua parti dalam GRS supaya mengutamakan kepentingan bersama dan menunjukkan teladan yang baik dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.
Hajiji turut menegaskan kepentingan menyediakan barisan pelapis bagi memastikan kesinambungan perjuangan GRS dalam jangka panjang.