KUCHING: Tiada cadangan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penambahan kerusi Parlimen Sarawak setakat ini kerana proses Perlembagaan yang diperlukan bagi tujuan itu masih belum selesai, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau berkata persetujuan secara prinsip kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak hanyalah langkah awal dalam proses perlembagaan yang perlu dilaksanakan itu.
“Komposisi Dewan Rakyat ditetapkan di bawah Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak memerlukan pindaan Perlembagaan yang diluluskan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Selepas pindaan diluluskan, SPR akan melaksanakan proses persempadanan semula mengikut Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mengenai sebab SPR masih belum mengemukakan cadangan untuk menambah kawasan Parlimen di Sarawak.
Sharifah Hasidah berkata tiada kerusi Parlimen tambahan boleh diwujudkan sehingga proses Perlembagaan berkenaan selesai, dan menurutnya perkara tersebut merupakan asas kepada kenyataan SPR sebelum ini bahawa tiada cadangan untuk menambah kawasan Parlimen di Sarawak.
“Selagi proses ini belum diselesaikan, tiada kerusi Parlimen tambahan diwujudkan secara sah.
“Kenyataan SPR dan persetujuan secara prinsip kerajaan Persekutuan, kedua-duanya merujuk kepada peringkat yang berbeza dalam proses berkenaan,” katanya.
Sharifah Hasidah turut menjelaskan bahawa cadangan penambahan kerusi Parlimen itu berbeza daripada perluasan kawasan pilihan raya negeri Sarawak, yang akan meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99.
Beliau berkata penambahan kerusi DUN itu telah diluluskan pada 2025, manakala SPR kini sedang menjalankan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.
Pameran awam bagi kajian persempadanan semula itu telah berlangsung dari 1 hingga 30 Sept 2026.
“Bagaimanapun, SPR memaklumkan kawasan DUN baharu itu mungkin tidak sempat disiapkan untuk dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Mengapa tiada cadangan daripada SPR untuk menambah kerusi Parlimen Sarawak setakat ini?
A: Tiada cadangan kerana proses Perlembagaan yang diperlukan untuk penambahan kerusi Parlimen Sarawak masih belum selesai. - Q: Apakah langkah yang perlu diambil sebelum kerusi Parlimen tambahan boleh diwujudkan di Sarawak?
A: Penambahan kerusi memerlukan pindaan Perlembagaan yang diluluskan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, diikuti proses persempadanan semula oleh SPR. - Q: Adakah penambahan kerusi Parlimen sama dengan penambahan kerusi DUN di Sarawak?
A: Tidak, penambahan kerusi Parlimen berbeza daripada perluasan kawasan pilihan raya negeri Sarawak yang melibatkan peningkatan kerusi DUN daripada 82 kepada 99. - Q: Bilakah penambahan kerusi DUN Sarawak telah diluluskan dan apakah status semasa kajian persempadanan semula?
A: Penambahan kerusi DUN telah diluluskan pada 2025 dan SPR sedang menjalankan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak. - Q: Adakah kawasan DUN baharu akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang?
A: SPR memaklumkan bahawa kawasan DUN baharu itu mungkin tidak sempat disiapkan untuk dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang.