Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April.
"Pelaksanaan PRK DUN N.48 Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya pada sidang media, di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan diguna untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Januari 2025, dikemas kini hingga 22 Februari lalu.
DPPR bagi PRK ini mengandungi seramai 31,897 orang pemilih.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian Ishsam Shahrudddin, 59, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Ishsam yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Sosialis Malaysia (586) dan Parti Pejuang Tanahair (105).
