Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Umur bukan ukuran untuk jadi calon - Farzana

Farzana Hayani ketika sesi rakaman program temu bual terbitan Bernama TV sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka ke-16 di Melaka, baru-baru ini.  --fotoBERNAMA
Farzana Hayani ketika sesi rakaman program temu bual terbitan Bernama TV sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka ke-16 di Melaka, baru-baru ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

MELAKA: Faktor usia bukan ukuran dalam pemilihan seseorang sebagai calon pilihan raya, sebaliknya keupayaan individu untuk memperjuangkan aspirasi rakyat perlu menjadi pertimbangan, kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16,  Farzana Hayani Mohd Nasir.

Mesra disapa Nana, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang itu berkata prestasi seseorang calon, dinilai menerusi khidmat yang mampu diberikan kepada masyarakat serta sejauh mana mereka mampu menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing.

“Kita tengok (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berumur 80 tahun pun sangat bertenaga, jadi kita yang baru 26 tahun ni, kita jadikan itu sebagai contoh untuk kita bekerja dengan lebih kuat, lebih agresif. 

Advertisement

“Usia bagi Nana bukan ukuran semata-mata. Kita kena nilai berdasarkan gerak kerja dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Mengulas pencalonannya buat kali kedua, Farzana Hayani berkata beliau kini lebih bersedia, berbanding ketika pertama kali bertanding di DUN Sungai Rambai bagi PRN Melaka ke-15 pada tahun 2021.

Advertisement

“Untuk di (DUN) Kelebang ini, Nana bergerak di atas kapasiti sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu... pada awalnya saya tak sasarkan untuk kembali menjadi calon, namun diberi amanah oleh Pengerusi Pakatan Harapan sekali lagi.

“Jadi gerak kerja itu memang kita sudah tumpu lebih awal dan sebagai anak jati Bukit Rambai, saya dah kenal pasti beberapa masalah berkaitan pesawah, nelayan dan sebagainya,” katanya.

Farzana Hayani berdepan saingan empat penjuru di kerusi DUN Kelebang, menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ban Hong, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Young Jie Yu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan undi awal pada 10 Nov manakala pengundian pada 14 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement