Ringkasan AI
- Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik menjadi cabaran utama kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
- Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan jentera BN perlu memperkukuh strategi untuk mendekati pengundi baharu, tidak hanya bergantung kaedah tradisional.
- PRN Melaka 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi, namun tewas di semua Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15.
ALOR GAJAH: Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjadi antara cabaran kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung bulan depan.
Justeru, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jentera BN perlu memperkukuh strategi bagi mendekati pengundi baharu ini, dan tidak bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata bagi memastikan sokongan terhadap parti itu terus dipertahankan.
“Kalau dulu, kita boleh daftar pemilih, ambil nama-nama pemilih dan simpan dalam bakul kita. Kita boleh tahu, kalau bertanding di sini, kita boleh menang. Tetapi apabila pengundi baharu dibenarkan mengundi, bukan sahaja mereka berusia 18 tahun, malah mereka yang berusia 60 tahun tetapi tidak pernah mengundi juga boleh mengundi.
“Kita tidak tahu siapa mereka dan dari mana datangnya kerana secara automatik mereka menjadi pemilih … akhirnya kita tewas kerusi Parlimen Alor Gajah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, di sini hari ini.
Pengerusi BN Melaka itu berkata walaupun parti menang bergaya pada PRN Melaka yang diadakan pada 2021, namun ia tidak dapat diterjemahkan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila tewas di keenam-enam Parlimen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 14 Nov, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan undi awal pada 10 Nov.
PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) (dua kerusi).
-- BERNAMA