LAHAD DATU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, Warisan merupakan parti berbilang kaum dan sejarah pernah membuktikan parti politik seperti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah memerintah Sabah tanpa sebarang gabungan.

Walaupun pelbagai spekulasi dibuat, namun, Mohd Shafie berkata, tiada sebarang bentuk kerjasama yang dibuat dengan mana-mana parti dan Warisan selesa untuk bergerak sendiri.

“Kita nyatakan tidak pernah ada perbincangan, keputusan, bergabung dengan mana-mana parti setakat ini. Warisan akan bertanding secara solo dan kita tawarkan keupayaan kita… mungkin kita tidak banyak duit, tetapu pemimpin-pemimpin orang Sabah di sini, tidak kira bangsanya semuanya di sini

“Kita menyatakan bahawa keupayaan kita untuk meletakkan Sabah dan rakyat Sabah di landasan yang
sepatutnya…” kata Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam selepas Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian bantuan serta sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Daerah Kecil Tungku, di sini.