KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang mungkin diadakan hujung tahun 2027, Pakatan Harapan dijangka menggunakan tempoh itu untuk mengukuhkan kedudukan pasca badai tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
Menurut Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial, Universiti Antarabangsa Albukhary, Prof. Madya Dr. Norizan Azizan, pastinya kata sesetengah pihak, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperkenalkan lebih banyak dasar yang popular dan menambat hati rakyat dalam tempoh setahun lebih ini bagi memenangi PRU.
Katanya, pelaksanaan janji manifesto dan reformasi struktur serta institusi akan mengukuhkan sokongan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu yang dahagakan perubahan.
“Sebaliknya, rakyat akan dihidangkan dengan berita ranjau berliku yang dilalui antara BN dan PN terutama perebutan kerusi kerana menyasarkan segmen pengundi yang sama.
“Pada masa yang sama, PN dikatakan terpaksa menjawab dengan penyokongnya kerana bersekongkol dengan UMNO yang sebelum ini menjadi musuh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Norizan berkata, adakah jangkaan itu benar-benar berlaku selepas ini apabila turut digambarkan dengan kemungkinan jauh lebih rumit dan mencabar bagi PH.
Berdasarkan situasi PRN Johor lalu, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, PH tinggal lapan kerusi sahaja sebagai pembangkang, dan PN pulang tangan kosong.
Begitu juga di PRN Negeri Sembilan sebagai kubu kuat PH sejak 2018, BN merampas kerajaan negeri dengan 18 kerusi, PH jatuh daripada 17 kerusi (2023) kepada 11, dan yang lebih menyakitkan, Amanah tewas di semua kerusi termasuk kerusi penyandang tunggalnya.
“Ertinya PH kini menjadi pembangkang tanpa seorang pun wakil Melayu di dewan negeri itu. Ini bukan ‘mengukuhkan kedudukan pasca badai tiga PRN’, ini badai keempat dan kelima yang lebih teruk daripada yang sebelumnya, selepas Sabah pun PH cuma menang satu kerusi daripada 73 hujung tahun lepas.
“Dalam aspek Anwar membawa dasar popular pun, kalau kita jujur, belum menampakkan hasil di peti undi. Tinjauan Merdeka Center awal tahun ini menunjukkan sokongan peribadi Anwar kekal tinggi (52 peratus), tetapi 73 peratus rakyat masih letak ekonomi (khususnya kos sara hidup) sebagai masalah nombor satu, dan cuma 46 peratus berpuas hati dengan pengurusan ekonomi kerajaan,” katanya.
Mengenai andaian BN-PN sedang ‘berlaga’ pula, analisis selepas PRN Negeri Sembilan menunjukkan ada persefahaman tidak rasmi antara BN-PN yang mengelak pertembungan tiga penjuru dan sebenarnya lebih menyasarkan PH bersama-sama.
“Jadi bukan setakat ‘berselisih’, ada juga unsur kerjasama senyap yang lebih menentukan berbanding gaduh terbuka.
“Kalau PH mahu bertahan PRU16, soalan sebenar bukan lagi ‘bila hendak tunaikan manifesto’, tetapi macam mana hendak kekal relevan bila kubu sendiri pun sudah mula tumbang satu demi satu,” katanya.