KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli diminta menghentikan segera fitnah serta penipuan yang didakwa tidak berasas terhadap latar belakang politik bapa Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amira Alias.
Amira menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Rafizi mahu mengkritik atau menyerang dirinya secara peribadi, namun tindakan mengaitkan bapanya dengan dakwaan menyertai politik untuk mencari makan disifatkan sebagai penghinaan terhadap pengorbanan individu yang sudah bersama-sama perjuangan Parti Keadilan sejak 1999.
Menurutnya, bapanya bukan sahaja pernah menjadi Ketua Pemuda Keadilan Marang, malah turut memegang jawatan Bendahari Pemuda Keadilan Terengganu dari 1999 hingga 2002.
Jelas Amira, bapanya dipilih memegang jawatan bendahari ketika itu kerana mempunyai latar belakang sebagai ahli perniagaan yang mengusahakan perniagaan pengangkutan, pembuatan simen larik dan siling kapur.
“Cukup-cukuplah menipu, cukup-cukuplah fitnah orang. Untuk makluman Rafizi, ayah saya sudah sertai Keadilan sejak 1999 lagi. Ayah saya pernah jadi Ketua Pemuda Keadilan Marang dan Bendahari Pemuda Keadilan Terengganu.
“Bapa saya juga mempunyai urusan perniagaan dengan Malaysian Tobacco Company, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Telekom Malaysia, selain menyediakan perkhidmatan bas pekerja kilang.
“Semua itu adalah urusan perniagaan swasta dan bukannya kontrak kerajaan kerana kedudukan ayah saya dalam parti ketika itu,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial Tiktok miliknya.
Amira turut mendakwa bapanya sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membantu menggerakkan parti ketika Keadilan masih belum mempunyai kedudukan dalam kerajaan mahupun peruntukan kewangan yang besar.
Malah, beliau berkata bapanya menyimpan resit serta rekod pembayaran yang menunjukkan jumlah keseluruhan perbelanjaan menggunakan wang sendiri melebihi RM52,000.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana pengorbanan berkenaan boleh disifatkan sebagai usaha mencari makan dalam politik, sedangkan bapanya tidak pernah menuntut bayaran balik atau meminta pengiktirafan parti atas sumbangan tersebut.
Amira menjelaskan, bapanya juga pernah melalui tempoh sukar antara 2012 hingga 2016 apabila isterinya yang juga ibu Amira menghidap kanser payudara sebelum penyakit itu merebak menjadi kanser tulang tahap empat.
Katanya, bapanya menghabiskan tempoh empat tahun menjaga isterinya sehingga meninggal dunia pada 2016, namun tidak pernah menggunakan kesusahan berkenaan untuk meminta simpati atau bantuan daripada parti.
Dalam pada itu, Amira turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang didakwa semakin rancak menyerang anggota Keadilan, termasuk mereka yang sudah bersama-sama parti sejak zaman reformasi, susulan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.
Beliau turut mempertikaikan sama ada tindakan itu mempunyai kaitan dengan kekalahan Rafizi dalam pemilihan berkenaan sehingga individu yang tidak sehaluan dengannya dianggap sebagai musuh.
“Pemilihan sudah selesai. Belajarlah untuk menerima keputusan itu. Jangan disebabkan kalah dalam pertandingan politik, seluruh anggota parti pula yang saudara hendak hukum dengan kata-kata saudara.
“Keadilan ini bukan syarikat peribadi. Reformasi bukan hak milik eksklusif Rafizi dan saudara bukan satu-satunya manusia yang pernah berkorban untuk parti ini,” katanya.
Tambahnya, perjuangan parti tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan populariti atau publisiti kerana terdapat ramai anggota yang sanggup berkorban secara senyap tanpa mengharapkan pengiktirafan.
“Saya tidak minta saudara iktiraf ayah saya dan ayah saya pun tidak perlukan pengiktirafan saudara untuk membuktikan sejarah perjuangannya.
“Tetapi saya mahu saudara berhenti bercakap seolah-olah saudara tahu segala-galanya. Jangan gunakan ayah saya sebagai senjata politik saudara.
“Saya boleh pertahankan diri sendiri, tetapi untuk ayah saya, saya akan bersuara kerana saya tidak akan biarkan seseorang yang pernah berkorban begitu banyak untuk parti ini dihina oleh sesiapa sahaja, walaupun setinggi mana kedudukan orang itu,” tegasnya.