Skip to main content

Politik

Sempena ulang tahun ke-77, Ahmad Zahid seru pemuda UMNO terus relevan

Ulang Tahun Pemuda UMNO 2026 -- FB Zahid Hamidi
Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, barisan kepimpinan serta seluruh anggota pergerakan di setiap peringkat yang terus menggerakkan perjuangan parti. -Foto Facebook
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan selamat ulang tahun ke-77 kepada Pemuda UMNO sambil menyeru pergerakan itu supaya terus kekal relevan dalam kalangan generasi muda.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perubahan zaman membawa cabaran baharu kepada Pemuda UMNO termasuk perkembangan teknologi, perubahan cara berfikir serta suara generasi muda yang semakin rencam.

Menekankan keberanian sahaja tidak memadai, beliau berkata Pemuda UMNO mesti dipandu oleh kebijaksanaan disertai ilmu dan diterjemahkan melalui idea serta tindakan yang sesuai dengan peredaran zaman.

“Tugas besar Pemuda hari ini ialah memastikan UMNO kekal relevan dan mempunyai tempat dalam hati generasi baharu. Untuk itu, kita mesti berani membuka pintu Rumah Bangsa ini lebih luas...mendengar pandangan mereka, memberi ruang kepada bakat baharu dan membina keyakinan bahawa dalam UMNO, anak muda bukan sekadar pelengkap tetapi pewaris perjuangan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pengalamannya bersama Pemuda UMNO mengajar erti perjuangan, mengenali denyut nadi akar umbi dan memahami bahawa menjadi anggota pergerakan itu bukan sekadar berada di barisan hadapan, tetapi bersedia memikul amanah ketika parti memerlukan tenaga, fikiran dan keberanian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, barisan kepimpinan serta seluruh anggota pergerakan di setiap peringkat yang terus menggerakkan perjuangan parti.

"Teruslah menyantuni anak muda dalam bahasa mereka, memahami keresahan dan membawa aspirasi mereka ke dalam perjuangan parti," katanya.

Ahmad Zahid berkata usia 77 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya merupakan himpunan pengalaman, jatuh bangun dan pengajaran yang menjadi bekalan untuk pergerakan itu melangkah lebih jauh.

Beliau berharap Pemuda UMNO terus menjadi wadah melahirkan keberanian dipandu akal, idealisme berpijak di bumi serta pemimpin yang bersedia memikul amanah masa hadapan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement