POLITIK
Tengku Zafrul serahkan kedudukannya dalam Kabinet kepada PM Anwar

Keputusan Tengku Zafrul untuk keluar daripada UMNO dilakukan sendiri, dan tanpa paksaan mana-mana pihak. - Gambar fail/Bernama
SEPANG: Keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk keluar daripada UMNO dilakukan sendiri, dan tanpa paksaan mana-mana pihak.
Ringkasan AI
- Keputusan Peribadi untuk Sertai PKR: Tengku Zafrul menegaskan bahawa keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat secara bebas tanpa paksaan, selepas melalui pertimbangan mendalam.
- Jawatan Menteri Diserahkan kepada Perdana Menteri: Mengenai desakan agar beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul menyatakan bahawa keputusan itu terletak sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Fokus kepada Ibadah Haji: Tengku Zafrul kini memberi tumpuan kepada ibadah Haji bersama keluarga, dan memohon doa agar urusannya dipermudahkan. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UMNO atas sokongan sepanjang penglibatannya dalam parti.
“Keputusan ini bukan keputusan yang senang, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam, dan pada masa yang sama ingin saya tegaskan ini adalah pilihan saya sendiri, dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.
“Saya juga amat menghargai mereka yang memahami hak saya jugalah sebagai individu, dan pada dalam memilih hala tuju politik saya. Disebutkan tadi memang saya telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden PKR dan juga kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Sabtu, sebelum berlepas untuk menunaikan ibadat Haji bersama ahli keluarga.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul yang pernah memegang portfolio Kewangan dan MITI sewaktu era Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO dan telah meminta nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu Tengku Zafrul turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Zahid, serta pimpinan dan rakan-rakan dalam UMNO, yang banyak membantu serta memberi sokongan sepanjang beliau aktif dalam parti itu.
“Buat masa ini saya mohon kepada semua lah untuk berikan saya ruang untuk fokus kepada ibadah Haji, dan saya mohon doakan agar segala urusan saya dan isteri saya serta keluarga saya dipermudahkan di sana.
“Dan kepada para sahabat dan kenalan, saya juga ingin memohon maaf jika ada terkasar bahasa kepada semua ataupun terkhilaf di sepanjang persahabatan kita. Insya-Allah, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia ketika berada di Tanah Suci Mekah,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami