Ringkasan AI
- Parti Bersama Malaysia (Bersama) merehatkan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan susulan kontroversi melibatkan dirinya.
- Keputusan berkuat kuasa 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027 selepas pengakuan Nik Nazmi berhubung penglibatannya dalam satu kes tular.
- Bersama menegaskan tindakan ini penting untuk memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan parti.
KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) memutuskan untuk merehatkan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan susulan kontroversi yang melibatkan dirinya baru-baru ini.
Keputusan itu berkuat kuasa mulai 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027, selepas parti berkenaan mengambil maklum kenyataan pengakuan Nik Nazmi berhubung penglibatannya dalam satu kes yang tular.
Presiden Bersama, Ahmad Syukri Che Abdul Razab berkata, parti itu memandang serius perkembangan berkenaan dan berpendirian sebarang isu membabitkan kepimpinan serta anggotanya perlu ditangani secara sewajarnya.
"Bersama memandang serius perkembangan ini dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya, demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti," katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Menurut Syukri, keputusan merehatkan Nik Nazmi dibuat selepas mengambil kira kepentingan parti, khususnya dalam memastikan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinannya terus terpelihara.
"Bersama berpendirian bahawa keputusan ini adalah perlu dan munasabah, tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Saudara Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026," katanya.
Tindakan itu menyusul kontroversi membabitkan Nik Nazmi selepas beliau dilaporkan ditahan dalam satu kes khalwat yang mendapat perhatian umum baru-baru ini.
Bagaimanapun, kenyataan Bersama tidak memperincikan sebarang tindakan disiplin tambahan terhadap Nik Nazmi selain keputusan merehatkannya daripada aktiviti rasmi parti sepanjang tempoh berkenaan.
Nik Nazmi merupakan antara individu yang terlibat dalam perjuangan Bersama sejak parti itu dilancarkan semula pada Mei lalu, dengan keputusan terbaharu itu menyaksikan beliau tidak menyertai sebarang aktiviti rasmi parti sehingga 19 Januari depan.