AYER KEROH: Walaupun hanya 22 bulan mentadbir Melaka, beberapa dasar yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu masih menjadi sebahagian daripada pendekatan pentadbiran negeri.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, antaranya melibatkan pengurusan tanah kerajaan, peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang serta program perumahan rakyat.
Menurutnya, pentadbiran PH memperkenalkan dasar yang mengehadkan permohonan tanah kerajaan kepada rakyat Melaka yang belum memiliki tanah.
Katanya, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga tidak sepatutnya menerima keistimewaan dalam pemberian tanah kerajaan.
"Kalau nak beli tanah, macam orang lain jugalah, beli sekadar kemampuan. Tak boleh ada kelebihan sebab sudah diberikan elaun. Tanah itu adalah amanah yang diberikan," katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI baru-baru ini.
Dalam soal peruntukan, Adly berkata, pentadbirannya turut memulakan pemberian dana kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan wakil rakyat yang dipilih penduduk mempunyai peruntukan untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
"Wakil rakyat pembangkang tak dapat satu sen pun daripada kerajaan. Tapi saya mulakan.
"Walaupun mungkin jumlahnya dipertikaikan RM60,000 dan sebagainya. Tapi itulah permulaan kepada wakil rakyat pembangkang sebab dia wakil rakyat sudah dipilih oleh rakyat," katanya lagi.
Pemberian peruntukan itu pernah diteruskan pentadbiran selepas PH, namun pada April 2024, kerajaan negeri memaklumkan tiada keputusan untuk menyalurkan peruntukan kepada ADUN pembangkang.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika itu menjelaskan, kebajikan penduduk di kawasan pembangkang diuruskan melalui penyelaras DUN yang dilantik kerajaan negeri.
Sementara itu, syarat pemohon belum memiliki tanah turut digunakan kerajaan Melaka pada 2025, namun belum dapat dipastikan sama ada ia merupakan kesinambungan langsung dasar pentadbiran PH.
Mengimbau pencapaian lain, Adly berkata, pentadbirannya memperkenalkan program Rumah Berkat yang menawarkan sewaan RM150 sebulan kepada pasangan muda.
Menurutnya, hampir 200 unit rumah disediakan melalui program berkenaan bagi membantu golongan muda mengurangkan kos sara hidup.
Beliau turut menyebut pembangunan Empangan Sungai Jernih dan usaha menjadikan Pelabuhan Tanjung Beruas sebagai pelabuhan kontena antara inisiatif yang dilaksanakan ketika pentadbirannya.
Adly yang merupakan ADUN Bukit Katil sejak 2018 kini mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.