AYER KEROH: Hutang hampir RM16,000 dengan Ah Long sehingga sebuah keluarga menerima ugutan antara kes yang pernah ditangani Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.
Penyandangnya, Adly Zahari berkata, beliau pernah berurusan sendiri dengan pemberi pinjaman wang bagi membantu keluarga terbabit mencari penyelesaian.
"Ada satu kes itu dia terhutang hampir RM16,000, sudah tak mampu nak membayar. Kalau kita lihat ugutan kepada anak-anak, ugutan kepada keluarga. Macam mana kita nak selesaikan?
"Sebahagiannya adalah kita berurusan sendiri dengan Ah Long," katanya wawancara bersama Astro AWANI baru-baru ini.
Menurutnya, rundingan dilakukan bagi mengurangkan hutang atau mengatur pembayaran mengikut kemampuan keluarga terbabit.
Selain masalah hutang, Adly turut mendedahkan kes tunggakan bil elektrik sehingga RM9,000 dalam kalangan penduduk.
Antaranya melibatkan peniaga dari rumah yang menanggung bil tinggi, namun gagal membayar selepas perniagaan terhenti.
Malah, ada keluarga terpaksa bergelap selama beberapa bulan akibat keuzuran yang menjejaskan kemampuan membayar bil.
"Sudah berbulan-bulan dia bergelap kerana apa? Kerana memang keuzuran tak membolehkan dia membayar. Kita harus berinteraksi juga dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Apa ruang yang dia ada? Kalau dia boleh membayar mungkin RM100 atau RM200, jadi kita carikan bayaran ataupun dapat mengurangkan dia," katanya lagi.
Adly berkata, penyelesaian perlu dicari bersama pihak berkaitan, termasuk mengatur bayaran mengikut kemampuan penduduk.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka merupakan ADUN Bukit Katil sejak 2018 dan kini mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga pada 14 November ini.