Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: SPR sasar sekurang-kurangnya 95 peratus keluar mengundi awal

Ramlan berkata sehingga 10.35 pagi, sebanyak 53.25 peratus atau 5,286 pemilih daripada kalangan anggota tentera, pasangan dan polis telah keluar mengundi. - Astro AWANI
Ramlan berkata sehingga 10.35 pagi, sebanyak 53.25 peratus atau 5,286 pemilih daripada kalangan anggota tentera, pasangan dan polis telah keluar mengundi. - Astro AWANI
Advertisement

SUNGAI UDANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sekurang-kurangnya 95 peratus pengundi awal akan keluar menunaikan tanggungjawab hari ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata sehingga 10.35 pagi, sebanyak 53.25 peratus atau 5,286 pemilih daripada kalangan anggota tentera, pasangan dan polis telah keluar mengundi.

“Alhamdulillah, kita telah memulakan proses undi awal di 31 pusat mengundi di seluruh negeri Melaka yang melibatkan 50 saluran.

Advertisement

“Setakat 10.35 pagi, jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 53.25 peratus dan kita harap trend ini akan terus berterusan sehingga petang nanti, dengan sasaran kadar keluar mengundi boleh mencapai sehingga 95 peratus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Terendak, di sini hari ini.

Ramlan berkata sebahagian pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat berdasarkan jumlah pemilih yang berdaftar di setiap saluran.

Advertisement

“Sebanyak 19 pusat mengundi akan ditutup pada pukul 12 tengah hari bagi saluran yang tidak ramai pengundi, manakala tiga pusat mengundi ditutup pada pukul 2 petang dan lima lagi pada pukul 5 petang,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramlan memaklumkan sebanyak 237 kesalahan pilihan raya dilaporkan kepada pasukan pemantau SPR sehingga malam tadi, sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.

Menurutnya, kesalahan itu antaranya melibatkan aspek kempen, pemasangan bendera dan bahan-bahan kempen.

“Kesalahan-kesalahan kecil di bawah peraturan-peraturan kesalahan pilihan raya, sebanyak 237 (kes) dilaporkan,” ujarnya.

Mengulas perjalanan kempen setakat ini, Ramlan berkata SPR berpuas hati kerana proses berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar dilaporkan.

PRN Melaka ke-16 menyaksikan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, dengan hari pengundian dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Seramai 12,531 pasukan keselamatan akan menunaikan tanggungjawab bagi undi awal hari ini. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement