KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen disebabkan keengganan kerajaan memberikan peruntukan.


Ringkasan AI
  • Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar, terpaksa menjadi model baju raya kerana kerajaan tidak memberikan peruntukan. Beliau telah berunding sebanyak lima kali dan menghantar surat kepada kerajaan tetapi tidak menerima bantuan.
  • Syed Saddiq berjaya mendapatkan sumbangan RM1 juta untuk Parlimen Muar melalui kerjanya sebagai model. Beliau mengkritik kerajaan kerana tidak memberikan peruntukan dan meminta agar politik matang diamalkan.
  • Tindakan Syed Saddiq menjadi model mendapat perhatian ramai, termasuk teguran daripada Syerleena Abdul Rashid. Rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang masih terbuka menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.


Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendedahkan beliau sudah melakukan rundingan sebanyak lima kali dan menghantar surat maklumat balas kepada kerajaan berhubung perkara itu.

"Isu peruntukan sebagai Ahli Parlimen Muar, saya konsisten dan beberapa kali cuba berunding. Saya ikut petua Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya berunding dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof).

"Saya sudah berunding sebanyak lima kali, surat demi surat sudahpun dihantar. Lebih 400 hari tetapi bantuan daripada kerajaan di Pusat Khidmat Parlimen Muar, kosong ringgit.

"Kalau tak nak kasi, cakap sahaja dalam Dewan ini, tak nak kasi jangan bermuka-muka. Di luar kata lain, di dalam kata lain.

"Saya sudah cuba berkali-kali  namun tidak berjaya... sebab itu saya lari dan jadi model. Ada Ahli Parlimen marah saya jadi model.

"Saya terpaksa jadi model... akhirnya dapat sumbangan RM1 juta untuk Parlimen Muar," katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut meminta kerajaan supaya mengamalkan politik matang dengan membela pengundi tanpa mengira warna politik.

Tindakan Syed Saddiq itu sebelum ini menjadi perhatian orang ramai termasuk Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang menegur Syed Saddiq supaya tidak melupakan rakyat Muar hanya kerana beliau sering bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, mempromosikan baju raya sebuah jenama.

Sebelum ini, Fadillah ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat memberitahu rundingan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang secara individu masih lagi terbuka.