KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) dengan hasrat membantu memperkukuh aspek dasar parti itu, selain memastikan pendirian politiknya diterjemahkan menerusi dasar yang jelas dan praktikal.
Selepas 17 tahun bersama PKR, Wong Chen berkata setiap parti politik perlu berani menunjukkan pendirian sebenar dalam pelbagai isu dan tidak sekadar bercakap mengenai agenda reformasi tanpa menterjemahkannya kepada tindakan serta dasar yang konkrit.
"Jadi, saya menyertai Bersama untuk membantu memperkukuh aspek dasar parti. Setiap parti politik perlu menunjukkan pendirian sebenar mereka dalam semua perkara, bukan sekadar bercakap mengenai reformasi dan melaksanakan reformasi.
"Kita perlu menunjukkan wajah Malaysia yang progresif. Seperti yang dikatakan Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini, politik Malaysia sedang memasuki fasa yang sangat toksik. Kita perlu memperkukuh keadaan itu dan hari ini adalah buktinya," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Bersama pada Rabu.
Wong Chen berkata penyertaannya dalam Bersama juga selari dengan usaha parti itu memperincikan agenda dan dasar yang boleh mencambahkan perbincangan awam.
Beliau turut menyifatkan keputusan meninggalkan PKR merupakan sesuatu yang sukar tetapi perlu sebagai langkah seterusnya dalam perjalanan politiknya.
Katanya, surat peletakkan jawatan daripada PKR telah dihantar pada Selasa pagi, dan ia berkuat-kuasa serta merta.
"Surat itu diserahkan pada pukul 11 pagi. Mereka telah menerimanya dan mengesahkan surat tersebut. Saya turut mengambil gambar ketika itu dan memuat naiknya kemudian di Facebook serta media sosial.
"Jadi, secara rasminya saya telah meninggalkan PKR, parti yang saya telah berkhidmat selama 17 tahun. Sudah tentu ia merupakan detik yang menyayat hati.
"Tetapi dengan undang-undang sedia ada, khususnya undang-undang anti-lompat parti, orang ramai perlu memahami bahawa prosesnya ialah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen terlebih dahulu, kemudian meletakkan jawatan sebagai anggota parti dan selepas itu barulah memohon menjadi anggota parti baharu," ujarnya lagi.
Beliau menambah pengalaman sebagai Ahli Parlimen dan peguam korporat selama lebih dua dekad akan dimanfaatkan untuk membantu Bersama membangunkan dasar yang bersifat teknokratik, berasaskan fakta serta mengambil kira kemampuan sebenar kerajaan.
Dalam sidang media sama, Wong Chen menjelaskan isu peruntukan di kawasan Subang turut menjadi antara pertimbangan dalam keputusannya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
Beliau mendakwa akses kepada portal dana komuniti kawasan itu, yang disekat telah menjejaskan keupayaannya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Dengan menyekatnya, sebenarnya bukan saya yang terjejas, sebaliknya ia mengambil kuasa saya sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab menguruskan dana untuk komuniti yang memilih saya.
"Tetapi sehingga hari ini, tiada siapa dilantik untuk kawasan Subang dan saya merupakan sasaran pertama. Sudah dua setengah hingga tiga bulan berlalu, masih tiada sesiapa dilantik untuk menjaga kepentingan rakyat Subang.
"Sehingga hari ini juga, Perdana Menteri tidak pernah menulis walau sepucuk surat menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian," katanya.