NAGOYA: Aichi-Nagoya 2026 akhirnya melabuhkan tirai apabila Jepun mengucapkan “Sayonara” kepada Sukan Asia ke-20 menerusi upacara penutupan penuh warna, emosi dan simbolik selepas 16 hari menyaksikan atlet terbaik benua Asia memburu kejayaan.
Kemuncak perjalanan temasya itu hadir apabila api Sukan Asia dipadamkan di Stadium Paloma Mizuho, menandakan secara rasmi berakhirnya persaingan yang menghimpunkan atlet dari seluruh Asia sebelum baton diserahkan kepada Doha, Qatar selaku tuan rumah edisi akan datang.
Upacara rasmi bermula pada 6 petang waktu tempatan dengan ketibaan tetamu kehormat Putera Mahkota Akishino Fumihito dan Puteri Mahkota Kiko selain Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Sheikh Joaan Hamad Al Thani.
Acara kemudian diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Jepun diiringi lagu kebangsaan negara Matahari Terbit itu sebelum persembahan bertemakan Hearts Beating as One with Athletes menjadi pembuka tirai.
Kontinjen dari seluruh Asia selepas itu mengambil bahagian dalam perarakan atlet, menjadi penampilan terakhir peserta yang mengharungi persaingan, tekanan, kekecewaan dan kejayaan di pentas Aichi-Nagoya.
Perarakan itu turut menjadi simbol bahawa biarpun hadir sebagai pesaing, para atlet akhirnya disatukan oleh semangat kesukanan dan persaudaraan Asia.
Suasana kemudian beralih kepada segmen Gratitude and Emotion Celebration Heart yang menampilkan sorotan detik-detik penting Aichi-Nagoya 2026 sebagai tanda penghargaan kepada atlet, sukarelawan dan semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan temasya.
Segmen berkenaan mengimbas kembali perjalanan 16 hari Sukan Asia, daripada detik-detik kemenangan dan kejayaan atlet hinggalah cabaran yang dilalui sepanjang temasya.
Presiden OCA merangkap Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya (AINAGOC) Hideaki Omura kemudian menyampaikan ucapan sebelum bendera OCA diturunkan, menandakan berakhirnya satu lagi edisi temasya sukan terbesar Asia.
Detik itu turut menjadi simbol berakhirnya tanggungjawab Jepun sebagai tuan rumah kali ketiga selepas Aichi-Nagoya menjadi pentas pertemuan atlet daripada pelbagai latar belakang, budaya dan negara selama 16 hari.
Tumpuan selepas itu beralih kepada upacara serah tugas kepada Doha yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-21.
Wakil Doha menerima bendera OCA dan obor daripada tuan rumah Aichi-Nagoya sebelum bendera Qatar dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan negara berkenaan.
Segmen khas persembahan Doha kemudian memperkenal budaya dan identiti tuan rumah Sukan Asia ke-21 kepada penonton di stadium serta seluruh Asia.
Persembahan itu menjadi jambatan simbolik daripada Aichi-Nagoya kepada Doha sekali gus menandakan bermulanya perjalanan baharu menuju edisi Sukan Asia seterusnya.
Kemuncak upacara hadir menerusi pemadaman api Sukan Asia sekali gus menutup secara simbolik perjalanan temasya yang berlangsung di Aichi-Nagoya.
Sebagai penutup, para atlet disatukan menerusi One Asia, One Heart, sebuah persembahan bon-odori besar-besaran yang menghimpunkan peserta tanpa mengira generasi atau negara sebagai lambang perpaduan Asia.
-- BERNAMA