Skip to main content

Dunia

Pemain tenis Serbia digantung 24 tahun kerana atur perlawanan

Menurut ITIA, Milicevic tidak memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan. - Foto X José Morón
Menurut ITIA, Milicevic tidak memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan. - Foto X José Morón

Advertisement

LONDON: Seorang pemain tenis Serbia digantung daripada menyertai aktiviti sukan itu selama 24 tahun kerana menjadi dalang rangkaian rasuah yang terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan, lapor PA Media/dpa.

Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) memaklumkan bahawa Stefan Milicevic, 29, mengatur enam perlawanan, termasuk lima perlawanan yang disertainya, selain cuba mengatur enam lagi perlawanan antara 2022 hingga 2024.

Menurut ITIA, Milicevic turut didakwa merekrut atau cuba merekrut beberapa pemain profesional untuk menyertai rangkaian rasuah itu dalam tempoh sama, sehingga menyebabkan beberapa pemain lain turut mengatur perlawanan.

Milicevic, yang pernah mencapai kedudukan tertinggi di tempat ke-1,338 dalam ranking ATP, tidak memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan, menurut ITIA. Beliau turut dikenakan denda sebanyak US$70,000.

ITIA memaklumkan bahawa sepanjang tempoh penggantungan itu, Milicevic tidak dibenarkan bermain, melatih atau menghadiri sebarang acara yang dianjurkan atau diluluskan oleh World Tennis, Persatuan Tenis Wanita (WTA), Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP), penganjur kejohanan Grand Slam atau mana-mana persatuan tenis kebangsaan.

Tempoh penggantungan beliau secara rasmi akan berakhir pada 8 Okt 2050.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement